Topik diikuti
Pergi ke BHkuChee Meng: Lebih 80 firma tawar 400 jawatan kosong kepada pekerja terjejas isu gaji
Chee Meng: Lebih 80 firma tawar 400 jawatan kosong kepada pekerja terjejas isu gaji
Pekerja akan dipindahkan ke kemudahan penginapan agar sokongan dapat diselaraskan dengan lebih baik
Chee Meng: Lebih 80 firma tawar 400 jawatan kosong kepada pekerja terjejas isu gaji
Lebih 80 syarikat telah melahirkan minat untuk mengambil pekerja migran yang terjejas dalam kes gaji mereka tidak dibayar, dengan penempatan pekerjaan bermula minggu depan.
Pemimpin gerakan pekerja, Encik Ng Chee Meng, berkata dalam catatan Facebook pada 26 Jun bahawa Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Pusat Pekerja Migran (MWC) sedang memberi sokongan kepada 407 pekerja terlibat.
Mereka akan dipindahkan ke satu kemudahan penginapan menjelang hujung minggu ini supaya sokongan dapat diselaraskan dengan lebih baik.
“Mengenai pekerjaan, lebih 80 syarikat dengan hampir 400 kekosongan jawatan telah melahirkan minat, dan kesatuan sekerja kami sedang menghantar lebih banyak rujukan,” kata Encik Ng.
Menurutnya, Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian (TADM) berada di Asrama Tuas View untuk membantu baki pekerja memfailkan tuntutan mereka secara langsung.
“Penempatan pekerjaan bermula minggu depan. Kami akan memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan dalam proses ini,” tambah Encik Ng.
TADM menyediakan perkhidmatan kepada pekerja dan majikan untuk menyelesaikan pertikaian pekerjaan.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan bahawa pekerja tersebut, yang kebanyakannya daripada India dan Bangladesh, bekerja dengan KPA Engineering, SK Industries dan VVR Plant Engineering, yang menyediakan perkhidmatan penghawa dingin, paip dan bangunan.
Ketiga-tiga syarikat tersebut, bersama empat lagi syarikat di sini, berkongsi pengarah yang sama, Encik Ramu Palani Velu, seorang warganegara India dan penduduk tetap Singapura.
Encik Ramu tidak dapat dihubungi dan dipercayai telah meninggalkan negara ini.
Para pekerja tersebut telah menghubungi pihak berkuasa pada 22 Jun untuk mendapatkan bantuan di Pusat Perkhidmatan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) di Bendemeer selepas tidak dibayar gaji sekurang-kurangnya dua bulan.
MWC, sebuah pertubuhan bukan pemerintah yang bergiat menegakkan amalan pekerjaan yang adil dan kesejahteraan pekerja migran di Singapura, telah bertemu dengan lebih 300 pekerja yang terjejas pada keesokan harinya dan menawarkan bantuan kepada mereka.
Media sebelum ini melaporkan bahawa NTUC telah berjaya mendapatkan 40 firma dengan sekitar 150 jawatan kosong bagi para pekerja tersebut.
Pada 24 Jun, Encik Ng berkata bahawa MWC telah menghulurkan bantuan kepada sekitar 400 pekerja yang terjejas itu.
Mereka juga menerima wang tunai $100 dan baucar FairPrice bernilai $100 setiap seorang bagi menampung keperluan jangka pendek mereka.
