Topik diikuti
Pergi ke BHkuNTUC bantu 400 pekerja migran terjejas isu gaji tertunggak cari kerja kosong
NTUC bantu 400 pekerja migran terjejas isu gaji tertunggak cari kerja kosong
40 firma tawar 150 jawatan kosong bantu pekerja KPA Engineering, SK Industries
NTUC bantu 400 pekerja migran terjejas isu gaji tertunggak cari kerja kosong
Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) berjaya mendapatkan 40 firma dengan sekitar 150 jawatan kosong buat pekerja migran yang tidak dibayar gaji oleh sebuah syarikat penyelenggaraan penyaman udara, kata Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng.
Pada 24 Jun, Encik Ng berkata Pusat Pekerja Migran (MWC) NTUC setakat ini telah menghulurkan bantuan kepada sekitar 400 pekerja yang terjejas dalam kes tersebut.
Anggota MWC dalam kalangan pekerja terjejas juga akan menerima wang tunai $100, serta baucar FairPrice bernilai $100 setiap seorang bagi menampung keperluan jangka pendek mereka.
Demikian kata Encik Ng selepas mengadakan lawatan ke Dormitori Tuas View, tempat penginapan kebanyakan pekerja yang terjejas.
Pada 22 Jun, lebih 100 pekerja migran hadir di pejabat Kementerian Tenaga Manusia (MOM) bagi mengemukakan aduan berhubung gaji yang didakwa tertunggak sekurang-kurangnya selama dua bulan.
Semua pekerja berkenaan digajikan KPA Engineering, sebuah syarikat yang menyediakan khidmat penyelenggaraan sistem penyaman udara, atau firma berkaitan, SK Industries.
MOM sedang menjalankan siasatan terhadap kedua-dua syarikat tersebut atas kemungkinan berlakunya pelanggaran undang-undang.
Encik Ng berkata oleh kerana penempatan pekerjaan baru bagi mereka amat genting, NTUC akan berusaha memastikan kesemua pekerja terjejas mendapat padanan pekerjaan dalam tempoh beberapa hari akan datang.
“Tindakan mengabaikan pekerja dan tidak membayar gaji adalah sesuatu yang tidak akan dibiarkan oleh NTUC tanpa sebarang tindakan.
“Majikan mesti bertanggungjawab, dan saya gembira kerana ramai majikan telah tampil membantu pekerja migran ini.
“Saya difahamkan mereka masih berhutang bayaran agensi (pekerjaan), dan ada dalam kalangan mereka terbeban dengan hutang,” katanya.
Menurut Encik Ng, Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian (TADM) bersama rakan kongsi tiga pihak kini sedang berusaha menghubungi majikan terlibat dalam kes berkenaan.
Namun, Encik Ng berkata beliau “difahamkan mereka (majikan terlibat) mungkin tidak berada di dalam negara”.
Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash, yang turut berada di dormitori berkenaan, menyifatkan luahan pekerja terjejas sebagai amat menyayat hati.
Ini kerana isu gaji tertunggak itu telah menjejas kehidupan serta keluarga mereka.
Beliau berkata apabila tempoh penginapan pekerja terjejas di dormitori itu berakhir, MOM akan memindahkan mereka ke Pusat Orientasi MOM di Sengkang.
Mengulas mengenai bantuan kewangan yang diberikan kepada pekerja migran terjejas, Encik Dinesh berkata:
“Jumlahnya mungkin kecil buat masa ini, tetapi ia berguna untuk membantu mereka bertahan dalam tempoh beberapa hari ini – termasuk menambah nilai kredit telefon supaya dapat menghubungi orang tersayang – kerana sebahagian daripada mereka benar-benar tidak mempunyai banyak wang dalam poket.”
Beliau menambah MOM memandang amat serius terhadap majikan yang didakwa terlibat dalam kes berkenaan.
Siasatan kini berada di peringkat awal dan MOM akan mengambil tindakan sewajarnya sebaik sahaja siasatan selesai dijalankan, kata Encik Dinesh.
Pada 24 Jun, di sebuah dewan pawagam di Dormitori Tuas View yang dipenuhi pekerja, Encik Ng bercakap kepada sekitar 200 pekerja terjejas dengan bantuan jurubahasa Tamil dan Bengali.
Encik Ng memberi jaminan pihak berkuasa akan menjaga kebajikan mereka dan berusaha sebaik mungkin bagi mendapatkan semula gaji mereka.
Encik Dinesh turut menyampaikan ucapan kepada kumpulan pekerja berkenaan dalam bahasa Tamil dan Inggeris, sambil menegaskan MOM memandang serius kes tersebut.
Beliau berkata MOM akan menjalankan siasatan menyeluruh dan mengenakan hukuman setimpal terhadap pihak bersalah.
Kakitangan MOM, MWC dan TADM turut berada di lokasi bagi menjawab pertanyaan pekerja serta membantu menguruskan baki tuntutan gaji yang belum dikemukakan.
