Pemandu yang ditangkap memandu laju akan menerima hukuman lebih berat mulai 2026, kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 28 Mei.
Ini termasuk lebih banyak mata demerit dan jumlah denda yang lebih tinggi untuk kesalahan berkenaan, lapor The Straits Times (ST).
Menurut MHA, pemandu yang melepasi had laju kenderaan ketika memandu akan menerima antara dua dengan enam lagi mata demerit.
Mereka yang ditangkap memandu tidak lebih dari 20 kilometer sejam (kmh) daripada had yang ditetapkan, akan menerima enam mata demerit, naik daripada empat mata demerit kini.
Pemandu yang melepasi had laju 40 hingga 50kmh akan diberi 18 mata demerit, meningkat daripada 12 mata sekarang ini.
Mereka juga akan didakwa di mahkamah.
Dalam kenyataannya pada 28 Mei, MHA berkata bahawa denda komposisi akan dinaikkan antara $50 dengan $100, bergantung kepada berat kesalahan dan jenis kenderaan.
Pemandu yang menerima 24 mata demerit dalam tempoh 24 bulan akan digantung lesen memandu mereka.
Mereka yang digantung lesen sebanyak tiga kali akan dibatalkan lesennya.
Penalti baru akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
Perangkaan Polis Trafik yang didedahkan pada 21 Februari, menunjukkan jumlah individu yang terbunuh dan cedera dalam kemalangan jalan raya mencecah paras tertinggi dalam tempoh lima tahun pada 2024, dengan memandu laju menyumbang pada satu daripada tiga kemalangan maut.
Jumlah kesalahan memandu laju juga mencecah paras tertinggi dalam tempoh 10 tahun pada 2024, dengan 192,000 kes. Ia juga lebih dua kali ganda daripada jumlah kes pada 2023.
Pada 2024, terdapat 7,188 kemalangan jalan raya dan 142 kematian, kata MHA.
Terdapat juga peningkatan 43.8 peratus dalam kemalangan maut akibat memandu laju, daripada 32 kes pada 2023 kepada 46 kes pada 2024.
“Hukuman lebih berat ini menekankan komitmen MHA untuk mengekalkan keselamatan jalan raya.
“Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama,” kata kementerian itu.
Pada Mac, seorang pegawai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD), Badrolizam Kamsin, didenda $7,000 kerana memandu laju dan melanggar lampu merah di Boon Lay, menyebabkan kecederaan kepada lima orang lain yang terbabit dalam kemalangan itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg