Mata demerit dan denda bagi kesalahan pandu laju akan dinaikkan bermula 1 Januari 2026, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam pada 15 Februari.
Sejak 2020, terdapat peningkatan ketara dalam jumlah kemalangan jalan raya, katanya. “Angka ini masih lagi di bawah tahap sebelum Covid-19, namun cara ia meningkat adalah sesuatu yang membimbangkan.”
Pada 2024, terdapat hampir 7,200 kemalangan dengan 142 kematian, manakala jumlah kemalangan maut berkaitan kelajuan meningkat hampir 44 peratus berbanding 2023, iaitu 46 kes.
Jumlah kes pelanggaran had laju yang dikesan – 192,000 – juga merupakan yang tertinggi dalam dekad lalu, kata Encik Shanmugam pada Hari Keselamatan Jalan Raya pertama di Chong Pang, lapor The Straits Times.
Acara ini dilancarkan oleh Polis Trafik dan Persatuan Rakyat dengan sokongan Majlis Keselamatan Jalan Raya Singapura (SRSC) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 15 Februari. Acara ini dihadiri lebih daripada 1,000 penduduk.
Walaupun Polis Trafik (TP) telah meningkatkan penguatkuasaan, seperti mengaktifkan fungsi penguatkuasaan kelajuan dalam kamera lampu merah, beliau berkata lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk mengubah atau membentuk tingkah laku pemandu.
Polis trafik telah mengaktifkan fungsi penguatkuasaan kelajuan dalam kamera lampu merah secara berperingkat di seluruh Singapura sejak 1 April 2024.
Kamera lampu merah sudah mempunyai fungsi penguatkuasaan kelajuan, tetapi ia diaktifkan hanya selepas jumlah kemalangan maut berkaitan memandu laju meningkat kepada 33 kes pada 2023, meningkat lebih 80 peratus daripada 18 kes pada 2022.
“Lebih ramai orang terlibat dalam kemalangan dan cedera di jalan raya kita. Setiap kenderaan adalah berpotensi menjadi bak peluru di jalan raya – ia berbahaya jika tidak dipandu dengan betul,” kata Encik Shanmugam. Butiran lanjut mengenai penalti baru bagi kesalahan kelajuan akan disediakan oleh Polis Trafik pada masa akan datang.
Penalti sedia ada akan dikenakan kepada mereka yang ditangkap kerana memandu melebihi had kelajuan pada 2025, tetapi pesalah akan diingatkan bahawa penalti akan meningkat bermula Januari 2026.
Untuk meningkatkan pendidikan keselamatan jalan raya, SRSC sedang bekerjasama dengan beberapa pihak berkepentingan mengenai inisiatif untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai tabiat keselamatan jalan raya, seperti menggunakan media sosial untuk memperkukuhkan mesej keselamatan jalan raya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg