Golongan dewasa berusia 20 hingga 49 tahun merangkumi lebih separuh daripada keseluruhan mangsa penipuan di Singapura pada separuh pertama 2026, dengan penipuan e-dagang antara jenis penipuan paling kerap menjerat golongan tersebut.

Demikian menurut Laporan Penipuan dan Jenayah Siber Pertengahan Tahun Pasukan Polis Singapura (SPF), yang mendedahkan bahawa golongan dewasa muda berusia 20 hingga 29 tahun membentuk 21.8 peratus, manakala mereka yang berusia 30 hingga 49 tahun mencatat bahagian terbesar, dengan 36 peratus.

Secara keseluruhan, kedua-dua kumpulan usia itu merangkumi hampir 58 peratus daripada semua mangsa penipuan.

Dalam kalangan mangsa berusia 20 hingga 29 tahun, penipuan e-dagang merupakan jenis penipuan paling lazim, melibatkan 36.1 peratus daripada mereka. Ia disusuli penipuan pekerjaan pada 16.1 peratus dan penipuan pancingan data pada 16 peratus.

Corak serupa dilihat dalam kalangan mereka yang berusia 30 hingga 49 tahun, dengan penipuan e-dagang turut mencatat bahagian terbesar pada 27 peratus, diikuti penipuan pancingan data pada 21.2 peratus dan penipuan pekerjaan pada 14.3 peratus.

Malah, kes penipuan e-dagang mencatatkan yang tertinggi berbanding jenis kes jenayah lain, dedah SPF.

Secara purata, mangsa dalam kedua-dua kumpulan usia ini mengalami kerugian antara sekitar $7,400 dengan $17,000 seorang.

Gambaran berbeza pula dilihat dalam kalangan warga emas berusia 65 tahun dan ke atas.

Meskipun bahagian mereka dalam kalangan keseluruhan mangsa turun sedikit daripada 15 peratus pada separuh pertama 2025 kepada 14.4 peratus dalam tempoh sama pada 2026, warga emas terus mengalami kerugian purata tertinggi antara semua kumpulan usia.

Kerugian purata bagi setiap mangsa warga emas meningkat kepada $42,347, berbanding $35,374 setahun lalu.

Penipuan penyamaran pegawai pemerintah paling kerap menjerat golongan itu, melibatkan 23 peratus mangsa warga emas, diikuti penipuan pelaburan pada 22.2 peratus dan penipuan pancingan data pada 14.5 peratus.

SPF berkata pihaknya terus bekerjasama dengan agensi pemerintah lain dan pihak berkepentingan sektor swasta untuk memperkukuh langkah campur tangan antipenipuan bagi mengurangkan kerugian mangsa.

Pada 6 Jun, penggunaan nama samaran di platform PayNow telah dihentikan bagi mengelakkan penipu daripada menyalahgunakan ciri tersebut untuk menyamar sebagai individu atau pertubuhan yang sah.

Sejak 1 Julai juga, GovTech Singapore memperkenalkan kunci laluan (passkeys) sebagai kaedah log masuk tanpa kata laluan bagi Singpass, sebagai langkah perlindungan daripada penipuan pancingan data.

SPF menambah, tumpuan lebih besar diberikan kepada golongan warga emas dalam usaha pendidikan antipenipuan pada 2026, termasuk menjadikan bahan penerangan lebih mesra dan mudah diakses golongan tersebut.

Bahan pendidikan antipenipuan dihasilkan dalam pelbagai bentuk, termasuk lagu pendek, video pendek, klip audio dan mesej ringkas dalam bahasa Inggeris serta bahasa ibunda. Ia turut menggunakan tulisan lebih besar, visual yang jelas dan mesej ringkas yang berorientasikan tindakan.

Warga emas juga ditampilkan dengan lebih ketara dalam bahan kempen bagi menjadikannya lebih dekat dengan golongan tersebut, manakala bahan penerangan disebarkan menerusi saluran seperti televisyen, akhbar dan platform media sosial.

Dapatan ini berlaku meskipun keadaan penipuan dan jenayah siber secara keseluruhan menunjukkan penurunan.

Antara Januari dengan Jun 2026, jumlah kes penipuan dan jenayah siber merosot 17.9 peratus kepada 18,391 kes, daripada 22,397 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Dengan itu, SPF menambah bahawa pemerintah akan terus memperketat langkah perlindungan bagi membendung usaha penipu memperdaya rakyat Singapura.

“Pemerintah kekal komited untuk memperkukuh langkah perlindungan dan inisiatif yang dapat menyukarkan lagi usaha penipu untuk memperdaya rakyat Singapura.

“Pemerintah akan terus melaksanakan program pendidikan antipenipuan yang menyeluruh, di samping melengkapi orang ramai dengan pengetahuan, keupayaan dan sumber penting untuk melindungi diri daripada penipuan,” ujar SPF.