Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes serangan seksual, curi naik separuh pertama 2026
Dalam sebuah bas yang hampir kosong, seorang lelaki warga emas memilih untuk duduk di sebelah seorang wanita muda.
Dia berulang kali menyentuh paha dan mencabul wanita itu yang hanya mampu terduduk kaku.
Encik Ow Cheow Yam, 55 tahun, seorang penolong pengurus operasi, menyaksikan kejadian itu pada 27 Jun dan menghampiri mangsa yang tertekan, lalu menunjukkan mesej di telefonnya untuk bertanya sama ada wanita itu mengenali lelaki tersebut.
Wanita itu menggelengkan kepala.
Encik Ow memintanya berpindah tempat duduk sebelum berdepan dengan pelaku, yang mulanya menafikan kesalahan dan cuba meninggalkan bas.
Encik Ow menghalangnya sehingga polis tiba dan menahannya.
Kes serangan seksual di Singapura semakin meningkat.
Menurut laporan jenayah pertengahan tahun polis pada 24 Ogos, jenayah utama yang membimbangkan ialah kes mencabul kehormatan, kes curi di kedai dan kediaman.
Sebanyak 762 kes pencabulan dilaporkan pada separuh pertama 2026, berbanding 739 dalam tempoh sama pada 2025.
Bilangan kes rogol meningkat kepada 261 pada separuh pertama 2026 daripada 230 pada separuh pertama 2025, meskipun jumlah jenayah fizikal berkurang daripada 10,325 kepada 10,287.
Kebanyakan kes pencabulan pada separuh pertama 2026 berlaku di kediaman, pengangkutan awam dan pusat hiburan awam.
Encik Ow yang menerima Anugerah Semangat Kemasyarakatan SaferSG pada 17 Ogos, berkata keinginan untuk menegakkan keadilan mendorongnya tampil membantu dalam keadaan tersebut.
Beliau berkata: “Kejadian itu berlaku di depan mata saya dan saya sangat marah.
“Sering kali, mangsa menderita dalam diam. Saya berharap tindakan saya menggalakkan orang lain tampil membantu. Keselamatan masyarakat tanggungjawab semua.”
Seorang lagi penerima, iaitu penyelia keselamatan di pusat beli-belah Tekka Place, Cik Vickneswary Krishnan, 51 tahun, membantu seorang wanita yang pahanya dicabul seorang lelaki mabuk di eskalator pada 10 Ogos 2025.
Lelaki itu terus mengaku tidak bersalah sehingga mangsa mula meragui dirinya sendiri.
Walaupun mangsa tidak pasti sama ada mahu membuat laporan polis, Cik Vickneswary mencatat butiran kededua pihak.
Beliau meneliti rakaman keselamatan dan mendapati lelaki itu telah mengekori mangsa menaiki beberapa tingkat di dalam bangunan sebelum mencabulnya.
Beliau kemudian memaklumkan wanita itu, yang membuat laporan polis sehingga lelaki berkenaan ditahan.
Cik Vickneswary berkata wanita itu mungkin tidak bersuara kerana bimbang tidak didengar atau dipercayai.
Beliau berkata: “Jika ada yang tidak kena, bersuaralah. Kepada orang ramai, daripada sekadar merakam dan memuat naik video di media sosial, tampil membantu apabila berdepan kejadian seperti ini.”
Dalam kebanyakan kes rogol dan pencabulan, pelaku dan mangsa saling mengenali.
Polis memandang serius semua kesalahan seksual tanpa mengira hubungan pelaku dan mangsa, serta akan bertindak tegas terhadap mereka yang menyalahgunakan kepercayaan atau hubungan peribadi untuk memperdaya mangsa.
Sementara itu, kes jenayah kekerasan lain tidak banyak berubah berbanding tahun sebelumnya.
Jenayah melibatkan pisau meningkat sedikit kepada 68 kes pada separuh pertama 2026, manakala kes pembunuhan pula kekal dua.
Namun, kes pecah rumah dan kecurian meningkat.
Sebanyak 64 kes pecah rumah dilaporkan pada separuh pertama 2026, berbanding 56 dalam tempoh sama pada 2025.
Hampir separuh berlaku di kediaman, dengan jumlah hampir sama antara perumahan awam dengan swasta.
Kes kecurian di kedai meningkat kepada 2,095 pada separuh pertama 2026, daripada 2,050 dalam tempoh sama pada 2025.
Barangan yang lazim dicuri termasuk makanan, minuman, pakaian dan produk penjagaan diri.
Menurut polis, kecurian di kedai kekal antara kesalahan utama golongan belia, yang kebanyakannya menyasarkan pasar raya, kedai serbaneka, pasar mini serta kedai penjagaan diri, kesihatan dan kesejahteraan.
Kes curi di kediaman pula meningkat sedikit kepada 730 pada separuh pertama 2026, berbanding 726 dalam tempoh sama pada 2025.
Polis menasihatkan orang ramai agar tidak meninggalkan barangan peribadi tanpa pengawasan di tempat umum.
