Topic followed successfully
Go to BHkuHSA, Interpol rampas lebih 6,600 ubat haram dalam operasi sejagat
HSA, Interpol rampas lebih 6,600 ubat haram dalam operasi sejagat
Rampasan termasuk ubat antiparasit rawat cacing pada manusia dan haiwan
HSA, Interpol rampas lebih 6,600 ubat haram dalam operasi sejagat
Satu operasi merentasi pelbagai bidang kuasa yang diketuai Polis Antarabangsa (Interpol), dengan serbuan di Singapura oleh Penguasa Sains Kesihatan (HSA), telah membawa rampasan besar-besaran ubat-ubatan yang tidak diluluskan dan palsu.
Interpol, pada 7 Mei, berkata Singapura, bersama Australia, New Zealand, Amerika dan Britain, melaporkan rampasan besar-besaran Ivermectin, iaitu ubat rawatan untuk jangkitan cacing parasit, dan fenbendazole, yang kerap digunakan sebagai ubat cacing untuk haiwan peliharaan, lapor The Straits Times (ST).
Sering disalah label sebagai suplemen kesihatan, produk itu dijual sebagai sebahagian daripada apa yang dipanggil ‘kit rawatan barah’, menjadikannya lebih mudah diakses dan sekali gus mengelak kawalan peraturan, tambah Interpol.
Interpol berkata 149,092 dos ubat antiparasit telah dirampas, naik mendadak berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Sejumlah 90 negara telah menyertai operasi berbilang negara dari 10 Mac hingga 23 Mac.
Sepanjang dua minggu, agensi penguatkuasaan undang-undang di seantero dunia telah merampas sejumlah 6.42 juta dos ubat-ubatan bernilai sekitar AS$15.5 juta ($19.67 juta) sebagai sebahagian ‘Operasi Pangea’, kata Interpol.
Dimulakan pada 2008, ‘Operasi Pangea’, merupakan tindakan penguatkuasaan sejagat yang diketuai Interpol bagi membendung penjualan ubat-ubatan haram dalam talian.
Dalam satu kenyataan, HSA berkata ia melupuskan pelbagai senarai produk seperti kanta lekap tidak berdaftar dan merampas 6,641 unit produk kesihatan haram selepas memintas penghantarannya di pusat pemeriksaan Singapura.
Kira-kira 88 peratus daripada produk tersebut telah dirampas melalui perkhidmatan pos.
HSA berkata ubat preskripsi seperti ubat tahan sakit atau ubat penenang membentuk sebahagian besar rampasan, menyumbang sekitar 36 peratus daripada semua hasil rampasan.
Ubat antiparasit seperti Ivermectin, ubat preskripsi yang didaftarkan di Singapura untuk rawatan jangkitan cacing parasit, membentuk 30 peratus daripada semua rampasan di Singapura.
HSA memberi amaran rawatan kendiri dengan Ivermectin boleh membahayakan pengguna.
“Ia bukan ubat antivirus,” tambah penguasa itu.
“Semasa pandemik Covid-19, terdapat kes import Ivermectin.
HSA ingin mengingatkan bahawa Ivermectin tidak diluluskan untuk digunakan dalam pencegahan atau rawatan Covid-19,” tegasnya.
Turut dirampas di Singapura ialah 110 kotak alat suntikan yang telah diisi dengan gel rawatan estetik..
HSA berkata ubat rawatan tersebut mesti diberikan oleh karyawan penjagaan kesihatan berdaftar, sambil menambah ubatan yang dijual dalam talian mungkin mengandungi bahan yang tidak diketahui atau berbahaya.
Penguasa tersebut juga telah menarik balik 959 penyenaraian produk kesihatan haram daripada wadah e-dagang dan media sosial tempatan, dan mengeluarkan amaran kepada 152 penjual.
Sebahagian besar penyenaraian atau 82 peratus, melibatkan kanta lekap yang tidak berdaftar.
Penyenaraian lain termasuk penjual yang mempromosikan produk seperti ubat kulit, ubat perangsang seks, penyedut dan semburan hidung, dan oksigen pekat.
Interpol berkata pihak berkuasa di seluruh dunia telah melancarkan 392 siasatan dan melaksanakan 158 waran geledah.
Operasi tersebut menyebabkan 269 tangkapan dan 66 kumpulan jenayah dibongkar.
Ia melibatkan kira-kira 5,700 laman web, akaun media sosial dan saluran berkaitan dengan jenayah yang digunakan untuk memasarkan dan menjual produk haram tersebut.
