Pihak berkuasa sedang menyiasat kes pelanggaran data, dengan golongan penggodam dipercayai telah mengakses sekitar 147,000 rekod data pelanggan syarikat permotoran Cycle & Carriage Singapore (C&C).
Dalam kebanyakan kes, maklumat yang telah diakses mungkin termasuk nama pelanggan, alamat e-mel, nombor telefon dan alamat surat-menyurat, kata C&C sebagai respons kepada pertanyaan The Straits Times (ST).
Kebanyakan rekod yang telah dimuat turun menyebabkan maklumat sama ada hilang atau tinggal separuh, tambahnya.
Bagaimanapun, C&C berkata kira-kira 2 peratus daripada rekod berkenaan mengandungi nombor kad pengenalan dan jumlah deposit.
“Tiada maklumat perbankan atau kad kredit didedahkan,” tambah syarikat itu.
Menjawab pertanyaan media, Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC) berkata ia mengetahui tentang pelanggaran data dan siasatan sedang dijalankan.
C&C, dalam nota yang dihantar kepada pelanggan pada 31 Julai, dan ditunjukkan kepada ST, berkata ia masih menyiasat skop penuh pelanggaran itu.
Nota itu menjelaskan: “Kami telah dimaklumkan pada 14 Julai 2025 tentang akses tanpa kebenaran ke dalam sistem pengurusan perhubungan pelanggan kami, dan pelaku telah memuat turun beberapa maklumat pelanggan.
“Maklumat anda berada dalam rekod data yang terjejas.”
C&C juga membuat laporan polis selepas ia mendapati pelanggaran data itu.
Nota itu selanjutnya berkata: “Sebaik sahaja kami menyedari kejadian itu, kami mengambil langkah untuk menghalang akses tanpa kebenaran selanjutnya kepada sistem itu.
“Siasatan menyeluruh telah dijalankan untuk membuktikan fakta dan ia masih diteruskan.”
Ia menambah bahawa penyiasat forensik telah diaktifkan untuk meneliti kemungkinan punca penggodaman, dan ia telah dalam masa yang sama, memaklumkan kepada PDPC juga.
C&C menasihatkan pelanggan yang terjejas supaya memerhatikan kegiatan pancingan data atau permintaan yang mencurigakan bagi mendapatkan maklumat peribadi berikutan kejadian itu.
Ia menambah bahawa pihaknya akan terus menyemak dan memperhalusi tadbir urus data sedia ada dan protokol kebersihan siber susulan kejadian itu.
C&C juga telah mula memaklumkan kepada pelanggan yang terjejas mulai 30 Julai, katanya.
Mereka yang mempunyai pertanyaan atau ingin melaporkan sebarang kegiatan yang mencurigakan boleh menghubungi pegawai khidmat pelanggan C&C di 6471-9111 atau melalui e-mel di customerassistancecentre@cyclecarriage.com.sg
Mereka yang memerlukan maklumat lanjut mengenai perlindungan data peribadi boleh merujuk kepada laman PDPC yang mempunyai butirannya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg