Lelaki berusia 39 tahun didapati bersalah atas sekurang-kurangnya 75 kes penggodaman seluruh dunia telah ditahan di Thailand pada 26 Februari.
Menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 27 Februari, penahanannya itu berlaku hasil operasi rentas sempadan antara SPF dengan Polis Diraja Thai.
Siasatan pelanggaran data bermula pada 2020 setelah 11 mangsa di Singapura membuat laporan polis.
Mangsa tersebut telah menerima permintaan wang tebusan daripada beberapa pelaku ancaman, setelah data mereka dicuri.
“Pelaku ancaman tersebut telah menggelarkan diri sebagai ‘Altdos’, ‘Desorden’, ‘GhostR’ dan ‘0mid16B’,” kata kenyataan SPF.
Mereka menambah bahawa gelaran-gelaran tersebut mungkin berasal daripada orang yang sama.
Apabila mangsa gagal membayar wang tebusan, data mereka yang dicuri akan dimuatnaikkan dalam talian untuk dijual.
Nama ‘Desorden’ keluar di akhbar pada 2021 setelah penggodam membocorkan data dari agensi pekerjaan Protemps Employment Services, menjualnya pada harga 2.10 euro ($3).
‘Desorden’ juga bersalah atas dua kes penggodaman melibatkan vendor komputer peribadi (PC) Acer di India dan Taiwan.
Menurut platform pemantauan risiko digital CloudSEK, ‘Desorden’ sasarkan firma di Asia, terutamanya konglomerat dengan pendapatan tinggi.
Pengguna nama ‘Altdos’ pula didapati di sebalik penggodaman firma hartanah OrangeTee & Tie pada Ogos 2021, yang telah menyebabkan maklumat lebih 250,000 pelanggan, pekerja dan ejen terjejas.
Kenyataan SPF juga mengatakan bahawa pegawai daripada penubuhan Cybercrime Command, SPF, telah bekerjasama dengan polis Thai untuk berkongsi dapatan daripada siasatan masing-masing.
Kerjasama kededua neraga telah membantu mereka mengenal pasti identiti suspek, yang juga disyaki bertanggungjawab atas beberapa pelanggaran data di Thailand.
Kewarganegaraan lelaki itu tidak dinamakan dalam kenyataan SPF.
Polis Thai telah merampas aset bernilai lebih 10 juta baht ($395,500), termasuk komputer riba, telefon bimbit, kenderaan mewah dan beg berjenama.
Siasatan masih berjalan.
Meluahkan penghargaan kepada Polis Diraja Thai, Penolong Pesuruhjaya Polis (AC) Paul Tay menegaskan komitmen SPF untuk bekerjasama dengan rakan kongsi serantau.
AC Tay berkata: “Kami tidak akan berhenti mengejar penjenayah siber dan akan memburu mereka di mana sahaja mereka berada dan membawa mereka ke muka pengadilan.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg