Kru Scoot salah guna hampir $40,000 hasil jualan makanan dalam penerbangan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kru Scoot salah guna hampir $40,000 hasil jualan makanan dalam penerbangan

Feb 3, 2026 | 4:38 PM

Kru Scoot salah guna hampir $40,000 hasil jualan makanan dalam penerbangan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
scoot cabin crew, kru kabin, salahguna wang dalam kapal terbang
Siasatan mendapati anggota kru kabin itu menggunakan wang tersebut untuk membayar hutangnya kepada peminjam wang tidak berlesen. - Foto fail

Seorang anggota kru kabin syarikat penerbangan Scoot telah menyalahgunakan hampir $40,000 hasil daripada jualan makanan dan minuman di dalam penerbangan sebanyak 366 kali antara Julai 2023 dengan Mac 2025.

Luqman Hakim Shahfawi, 31 tahun, yang juga bertugas sebagai ketua kompleks (kru kabin kanan yang mengendali pasukan) dengan syarikat penerbangan tambang rendah itu pada waktu kesalahan dilakukan, mengaku bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah jenayah yang melibatkan lebih daripada $22,000.

Satu lagi pertuduhan serupa yang melibatkan baki hampir $18,000 akan dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.

Luqman tidak lagi bekerja dengan Scoot, menurut kenyataan syarikat penerbangan itu.

Jurucakap Scoot menambah: “Kami tidak dapat mengulas lanjut mengenai isu berkaitan kakitangan, sama ada kakitangan yang masih berkhidmat atau bekas pekerja, serta kes undang-undang yang masih dibicarakan di mahkamah.”

Tindakan Luqman bermula apabila dia menghilangkan dua beg yang mengandungi wang daripada penumpang yang membeli makanan dan minuman. 

Bimbang penyelianya akan mengesan kehilangan tersebut, dia kemudiannya mengambil keputusan untuk menyimpan wang tunai hasil jualan makanan dan minuman dalam penerbangan apabila tidak ditegur mengenai perkara itu.

Akhirnya, dia mengaku atas perbuatannya.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Cik Janessa Phua, memberitahu mahkamah bahawa sebagai ketua kompleks, Luqman menyelia kru kabin lain. 

Dia juga bertanggungjawab mengumpulkan bayaran hasil jualan makanan dan minuman dalam penerbangan.

Penumpang boleh membuat bayaran sama ada secara tunai atau menggunakan kad.

Wang tunai yang dikumpulkan akan dimasukkan ke dalam “beg Brinks”, iaitu beg khas untuk menyimpan wang tunai, menurut mahkamah.

Pada akhir setiap penerbangan, ketua kompleks akan mengira jumlah barangan yang dijual serta hasil jualan, dan merekodkannya dalam perisian yang digunakan Scoot.

Selepas itu, dia perlu membawa “beg Brinks” ke pejabat Scoot dan menyimpan wang tersebut ke dalam peti besi dalam tempoh 48 jam selepas penerbangan.

Dokumen mahkamah menyatakan pada 2023, Luqman telah kehilangan dua “beg Brinks” selepas satu penerbangan, namun tidak melaporkan perkara itu kepada penyelianya.

“Selepas itu, tertuduh mengambil keputusan untuk menyimpan ‘beg Brinks’ berserta wang tunainya selepas setiap penerbangan kerana bimbang penyelianya akan mengesan kehilangan dua beg pertama tersebut,” kata DPP Phua. 

“Apabila penyelianya tidak menegurnya kerana gagal mendepositkan hasil tunai daripada ‘beg Brinks’ seterusnya, tertuduh terus menyimpan ‘beg Brinks’ selepas setiap penerbangan.”

Sebanyak 156 kali antara Julai 2023 dan Mac 2024, Luqman menyimpan hampir $18,000 hasil tunai daripada jualan makanan dan minuman dalam penerbangan.

Dia melakukan kesalahan serupa yang melibatkan lebih $22,000 sebanyak 210 kali antara April 2024 dan Mac 2025.

Siasatan mendedahkan wang tersebut digunakan untuk membayar hutangnya kepada peminjam wang tidak berlesen.

Dia kemudiannya mengaku atas kesalahannya, dan seorang wakil Scoot memaklumkan pihak polis pada 20 Mac 2025. 

Prosiding mitigasi dan hukuman terhadap Luqman akan berlangsung pada 3 Februari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg