Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Scoot penerbangan tambang rendah ke-3 paling selamat di dunia

SIA ketujuh bagi penerbangan khidmat penuh, dalam senarai AirlineRatings.com 2026
Jan 13, 2026 | 6:11 PM
Scoot, penerbangan tambang rendah, ketiga paling selamat
Kali terakhir Scoot memasuki senarai penilaian AirlineRatings.com ialah pada 2023, namun ketika itu, senarai yang merangkumi 25 syarikat penerbangan teratas tidak disusun mengikut kedudukan. - Foto ST

Scoot, anak syarikat tambang murah syarikat penerbangan nasional Singapore Airlines (SIA), menduduki tempat ketiga dalam senarai Syarikat Penerbangan Tambang Murah Paling Selamat Dunia 2026 yang dikeluarkan oleh laman web penarafan keselamatan dan produk penerbangan, AirlineRatings.com.

Syarikat penerbangan bajet Hong Kong, HK Express, mendahului senarai tersebut, diikuti Jetstar Australia di tempat kedua.

Kali terakhir Scoot memasuki senarai penilaian AirlineRatings.com ialah pada 2023.

Namun ketika itu, senarai yang merangkumi 25 syarikat penerbangan tambang murah paling selamat tidak disusun mengikut sebarang kedudukan.

AirlineRatings.com telah menerbitkan senarai Syarikat Penerbangan Paling Selamat Dunia setiap tahun sejak 2014, dan menilai 320 syarikat penerbangan bagi senarai 2026. 

Syarikat penerbangan yang mengendalikan kurang 25 pesawat dikecualikan daripada penilaian. 

Penilaian dibuat berdasar pelbagai kriteria, termasuk kadar insiden penerbangan; usia dan saiz kumpulan pesawat; bilangan nyawa terkorban dalam nahas; serta pematuhan terhadap audit dan piawaian antarabangsa oleh badan penerbangan yang diiktiraf seperti Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata).

Sementara itu, dalam kategori perkhidmatan penuh pula, Etihad Airways dinamakan sebagai Syarikat Penerbangan Perkhidmatan Penuh Paling Selamat Dunia bagi 2026, manakala SIA berada di kedudukan ketujuh. 

Sejak 2014, SIA hampir setiap tahun tersenarai, termasuk menduduki tempat ke-13 pada 2024; kelima pada 2023; dan keempat pada 2022. 

Satu-satunya tahun SIA tidak tersenarai ialah pada 2025, apabila markah penilaian keselamatannya terjejas ekoran kejadian SQ321 pada 21 Mei 2024, yang melibatkan gelora udara teruk dan satu nyawa terkorban serta ramai yang lain cedera.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirlineRatings.com, yang berpangkalan di Perth, Cik Sharon Petersen, berkata kejadian serius dinilai menggunakan pelbagai sumber data bagi memahami tahap risiko sebenar kepada penumpang. 

Syarikat penerbangan tidak dikenakan penalti bagi isu yang berpunca daripada pembuatan pesawat, kawalan trafik udara, bencana alam atau zon konflik. 

Selain itu, pasukannya turut menjalankan audit keselamatan bebas, bertemu syarikat penerbangan secara berkala dan mendapatkan pandangan pakar penerbangan serta juruterbang pemeriksa, yang layak untuk melatih, menilai dan memperakui juruterbang lain.

Cik Petersen berkata: “Tanpa ketelusan, kami hanya boleh bergantung pada data awam.

“Walaupun kami menggunakan penilaian yang boleh diukur, kerjasama dan keterbukaan firma penerbangan amat penting kerana kami tidak dapat menilai perkara yang tidak kami ketahui.”

Menurut beliau, perbezaan antara 25 syarikat penerbangan teratas sering kali amat kecil. 

“Apa yang menonjol tahun ini (2026) bukan siapa yang pertama, tetapi betapa rapatnya jurang antara yang unggul. Ini adalah perkembangan positif untuk pengembara dan industri,” katanya.

Senarai 10 syarikat penerbangan tambang murah paling selamat bagi 2026 termasuk HK Express, Jetstar Australia, Scoot, FlyDubai, EasyJet Group, Southwest Airlines, AirBaltic, Vietjet Air, Wizz Air Group dan AirAsia Group.

Sementara itu, 10 syarikat penerbangan perkhidmatan penuh paling selamat bagi 2026 ialah Etihad Airways, Cathay Pacific, Qantas, Qatar Airways, Emirates, Air New Zealand, Singapore Airlines, Eva Air, Virgin Australia dan Korean Air.

Secara keseluruhan, perjalanan udara kekal sebagai pengangkutan paling selamat. 

Laporan Keselamatan Tahunan Iata 2024 menunjukkan kadar kemalangan hanya 1.13 bagi setiap sejuta penerbangan, dengan risiko kematian kekal rendah. 

Ketua Pengarah Iata, Encik Willie Walsh, menegaskan walaupun berlaku beberapa kemalangan berprofil tinggi pada 2024, keselamatan penerbangan terus menunjukkan peningkatan berterusan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg