Topik diikuti
Pergi ke BHkuLelaki dituduh subahat dengan kontraktor tipu kolumbarium lebih $1.6j
Lelaki dituduh subahat dengan kontraktor tipu kolumbarium lebih $1.6j
Masing-masing dihadapkan dengan sembilan pertuduhan tipu pada 16 Apr
Lelaki dituduh subahat dengan kontraktor tipu kolumbarium lebih $1.6j
Seorang eksekutif penyelenggaraan sebuah kolumbarium di Bishan telah didakwa bersubahat dengan seorang pengarah firma binaan untuk menipu tanah perkuburan Cina lebih $1.6 juta.
Ching Wai Leng, 81 tahun, Ketua Penyelenggaraan di Kolumbarium Kwong Wai Siew Peck San Theng, dan Alagappan Muthu, 53 tahun, Pengarah KKV Construction, masing-masing dihadapkan dengan sembilan pertuduhan menipu pada 16 April.
Mereka didakwa memperdaya Presiden kolumbarium itu beberapa kali pada 2023 untuk memberi kerja-kerja subkontrak yang diperoleh KKV Construction kepada firma penyedia pembinaan dan kalis air, Asiabuild Enterprises, milik Ching.
Kes itu telah ditetapkan untuk persidangan praperbicaraan pada 21 Mei, selepas kededuanya melahirkan niat mereka untuk mempertikai semua pertuduhan yang mereka hadapi.
Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) menyatakan dalam satu kenyataan, Ching merupakan pemilik dan pengarah Asiabuild Enterprises pada masa kesalahan tersebut dilakukan.
Agensi itu berkata antara April 2023 dengan Disember 2023, Ching dan Muthu didakwa menyembunyikan perjanjian yang telah mereka buat untuk menyalurkan kerja-kerja yang diperoleh KKV Construction daripada kolumbarium Bishan kepada Asiabuild Enterprises.
Kertas pertuduhan menunjukkan Ching didakwa bersetuju sebanyak sembilan kali untuk membantu KKV Construction mendapatkan pelbagai kerja penyelenggaraan, seperti menyelaput simen, mengecat, mencuci dan membaiki, melalui tender terbuka, sebagai pertukaran untuk KKV memberi kerja-kerja subkontrak tersebut kepada Asiabuild Enterprises.
Perbuatan kededuanya menyebabkan Presiden kolumbarium meluluskan lebih $1.6 juta kepada KKV Construction untuk pelbagai kerja penyelenggaraan.
Rekod perniagaan menunjukkan Ching telah mengosongkan jawatan pengarahnya dalam Asiabuild Enterprises pada 6 April.
Alagappan kekal sebagai Pengarah dan pemegang saham KKV Construction.
