Topik diikuti
Pergi ke BHkuLelaki kedua dijel berkait tipu 5,540 transaksi penghantaran Grab
Lelaki kedua dijel berkait tipu 5,540 transaksi penghantaran Grab
Grab alami kerugian lebih $58,000
Lelaki kedua dijel berkait tipu 5,540 transaksi penghantaran Grab
Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara atas peranannya dalam helah menipu syarikat pengangkutan, GrabTaxi Holdings, yang membayar beberapa pemandu bagi kerja penghantaran yang tidak dilakukan.
Loh Jing Jie, 33 tahun, dihukum penjara 10 minggu pada 14 April selepas dia mengaku salah sebelum ini atas dua tuduhan menipu.
Dia adalah lelaki kedua yang dijatuhi hukuman berkaitan kes itu.
Loh juga adalah antara empat lelaki yang didakwa pada 28 November 2025 kerana menipu syarikat itu, yang mengalami kerugian lebih $58,000, kata polis pada November 2025.
Mahkamah diberitahu terdapat 5,540 transaksi sedemikian yang telah dibuat.
Kesalahan Loh melibatkan hampir $3,900. Dia tidak membayar sebarang ganti rugi.
Pada Mac, seorang lagi lelaki, Dzulqarnain Muhamad, 35 tahun, dipenjara tujuh bulan kerana kesalahan melibatkan lebih $13,500.
Kes melibatkan dua lelaki lain – Alex Wang Xiang Yi, 30 tahun; dan Lee Yong Ze, 31 tahun – masih belum selesai.
Menurut dokumen mahkamah, lima pemandu Grab terlibat dalam penipuan itu, tetapi orang kelima, yang tidak dinamakan, tidak didakwa pada 28 November 2025.
Dalam kes itu, kumpulan pemandu tersebut mengambil kesempatan daripada kelemahan dalam khidmat penghantaran GrabExpress yang membayar komisen kepada pemandu bagi setiap penghantaran.
Sekiranya pemandu gagal membuat penghantaran, mereka mesti memulangkan barang tersebut kepada penghantar dan menunjukkan pada aplikasi mudah alih Grab bahawa bungkusan itu telah dipulangkan.
Grab kemudian akan membatalkan tugas penghantaran dan membayar pemandu bagi setiap percubaan penghantaran.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Jheong Siew Yin berkata kumpulan pemandu di sebalik transaksi penipuan itu akan menerima tempahan GrabExpress dan segera menunjukkan bahawa bungkusan itu telah dipulangkan.
Hakikatnya, mereka tidak cuba mengambil barang tersebut.
Dokumen mahkamah tidak menyatakan sama ada penghantar yang terjejas memaklumkan Grab apabila tiada sesiapa yang datang untuk mengambil barang tersebut.
DPP Jheong berkata lima pemandu itu turut mengendalikan pelbagai akaun pemandu Grab di bawah nama orang lain tetapi menggunakan gambar profil mereka sendiri.
Beliau menambah: “Pemandu ini juga mengeksploitasi fakta bahawa Grab tidak menjalankan semakan balas gambar profil pemandu Grab.”
