Apabila seorang pemandu kereta sewa privet (PHV), Encik Najip Harun, menerima panggilan daripada penumpang menerusi aplikasi Grab, beliau curiga kerana penumpang tersebut memintanya membeli barangan dari kedai 7-Eleven yang dianggarkan berjumlah lebih $160.
Walhal, Encik Najip, 52 tahun, adalah pemandu Grab yang mengambil penumpang dan bukannya pengirim makanan.
Pada malam 29 Julai, beliau ditugaskan mengambil penumpang di sebuah cawangan 7-Eleven di Jurong East Street 13 untuk dihantar ke Arena Country Club, di Upper Jurong Road.
“Sebelum tiba di destinasi tersebut, saya menerima panggilan daripada penumpang itu – seorang lelaki yang memberikan arahan untuk membeli dua botol air galian dan barangan lain yang berjumlah sekitar $160.
“Saya menolak permintaannya kerana merasakan jumlah itu terlalu banyak dan memintanya untuk membatalkan tempahan,” kata Encik Najip, yang menerima panggilan itu sekitar 7.52 malam.
Menurut Encik Najip, penumpang itu mahu beliau membelikan barangan yang dipesan untuk dihantar ke destinasi tujuan, tanpa kehadirannya di lokasi pengambilan.
“Cara perbualannya seperti orang dari negara asing, dan saya merasakan permintaan itu sangat aneh. Saya tidak pasti barangan apa yang diminta kerana saya terus menolak selepas mendengar harganya. Mujurlah tempahan itu dibatalkan,” tambahnya.
Keesokan harinya, Encik Najip dan para pemandu Grab yang lain menerima pesanan amaran daripada syarikat mereka supaya tidak menerima pesanan pembelian bagi pihak penumpang, yang dikatakan satu modus operandi penipuan terbaru untuk memperdaya pemandu Grab.
Grab menasihati pemandunya agar tidak melayan sebarang permintaan untuk membeli kad hadiah, kad permainan, atau menjalankan sebarang urusan peribadi bagi pihak sesiapa.
Kad hadiah ialah kad prabayar yang mengandungi sejumlah nilai wang dan boleh digunakan untuk membeli barangan atau perkhidmatan di kedai tertentu atau secara dalam talian.
Ia lazimnya dikeluarkan oleh syarikat atau jenama seperti Apple, Google Play, Steam, atau 7-Eleven, dan berfungsi sebagai kaedah pembayaran gantian kepada wang tunai.
Penerima hanya perlu memasukkan atau mengimbas kod khas yang tertera pada kad semasa membuat pembayaran.
Kad hadiah sebegini sering disalahgunakan dalam kegiatan penipuan. Penipu akan meminta mangsa membeli kad tersebut dan menyerahkan kod penebusan sebagai bayaran palsu, kemudian menghilangkan diri setelah berjaya mendapatkannya.
“Penipu biasanya menyamar sebagai pelanggan yang berjanji akan membayar balik kos pembelian berserta bayaran tambahan, namun menghilangkan diri selepas memperoleh kod penebusan kad tersebut,” menurut amaran yang dihantar kepada pemandu Grab pada pagi 30 Julai.
Grab menggesa agar sebarang aktiviti yang mencurigakan dilaporkan segera melalui aplikasi Grab Driver, sambil mengingatkan bahawa mangsa boleh mengalami kerugian kewangan akibat tempahan palsu.
Grab menasihatkan semua pemandu PHV agar saling mengingatkan dan sentiasa berwaspada demi keselamatan bersama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg