Topik diikuti
Pergi ke BHkuMahkamah arah laporan rawatan bagi lelaki bakar flat HDB di Joo Seng Road
Mahkamah arah laporan rawatan bagi lelaki bakar flat HDB di Joo Seng Road
Mahkamah arah laporan rawatan bagi lelaki bakar flat HDB di Joo Seng Road
Seorang lelaki berusia 44 tahun mengaku bersalah atas tindakan membakar flat HDB pada 4 Mei yang menyebabkan 10 individu, termasuk dua anggota bomba, dikejarkan ke hospital.
Pada 22 Jun, pihak mahkamah mengarahkan laporan Perintah Rawatan Mandatori (MTO) bagi Liu Zheyuan susulan pengakuan bersalahnya atas tuduhan khianat dengan api.
Arahan MTO mewajibkan pesalah menjalani rawatan pemulihan bagi menangani kondisi mereka sebagai alternatif kepada hukuman penjara.
Tragedi bermula sekitar jam 9.40 malam apabila Liu membakar arang di dalam periuk di ruang tamu unit tingkat 18 di Blok 14, Joo Seng Road.
Dia memulakan tindakan itu dengan meletakkan dua keping arang serta alat pemula api di dalam sebuah periuk keluli tahan karat.
Periuk tersebut diletakkan di atas rak logam berhampiran tingkap ruang tamu yang terbuka, sebelum dia menambah lebih banyak arang ke dalamnya.
Nyalaan api yang marak dengan pantas menyambar langsir plastik, lantas merebak ke seluruh unit kediaman tersebut.
Liu sempat cuba memadamkan api yang semakin membesar, namun tidak berjaya.
Dia kemudian memaklumkan jiran-jirannya untuk berpindah dan menghubungi Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Beberapa penduduk, termasuk ibu bapanya yang uzur, terpaksa bergelut dengan sesak nafas akibat tersedut asap tebal.
Dokumen mahkamah mendedahkan kebakaran itu mengakibatkan kerugian antara $80,000 hingga $100,000.
Selepas diberkas polis, Liu ditahan reman di Institut Kesihatan Mental (IMH) untuk pemeriksaan lanjut.
Pakar mendapati dia menderita gangguan delusi ketika insiden tersebut berlaku.
Dalam imaginasinya, dia percaya jiran-jiran menyerangnya dengan pancaran laser dan arus elektrik melalui siling, lalu membakar arang kononnya sebagai benteng pertahanan.
Laporan media menyatakan lapan mangsa dan dua anggota bomba dikejarkan ke Hospital Besar Singapura (SGH) akibat terhidu asap.
“Penemuan awal menunjukkan kebakaran itu mungkin dimulakan dengan sengaja,” kata pasukan itu.
Polis memaklumkan pada 5 Mei bahawa api turut memusnahkan harta benda unit-unit kediaman berhampiran.
Lelaki tersebut kini berdepan tuduhan khianat dengan api kerana niat memusnahkan rumah kediaman.
Pihak berkuasa mengesahkan dua anggota bomba yang cedera telah dibenarkan pulang dari hospital.
Mahkamah dijangka menjatuhkan hukuman ke atas Liu pada Julai.
