Pihak pendakwaan memohon hukuman penjara antara 12 tahun sembilan bulan dengan 13 tahun setengah ke atas pemandu kes kemalangan maut di Tampines yang menyebabkan dua nyawa terkorban pada 2024.

Pada Ogos lalu, Muhammad Syafie Ismail, 45 tahun, telah mengaku bersalah atas tiga tuduhan – memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan parah, dan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan.

Seorang pelajar maktab rendah berusia 17 tahun dan seorang wanita maut, manakala lapan yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan itu.

Syafie akan dijatuhi hukuman pada 5 Oktober.

Semasa perbicaraan pada 7 September, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Niranjan Ranjakunalan turut menggesa mahkamah supaya mengenakan larangan memandu seumur hidup ke atas Syafie.

DPP itu berkata: “Ini bukanlah kes cuai memandu semata-mata atau kesilapan secara tiba-tiba yang membawa kemudaratan sangat besar.

“Sebaliknya, tertuduh telah mempamerkan tingkah laku pemanduan yang sangat berbahaya buat suatu tempoh yang panjang.”

DPP itu mengemukakan pernyataan impak mangsa daripada bapa pelajar itu – yang turut cedera dalam kemalangan tersebut – yang menunjukkan bahawa lelaki itu menyalahkan dirinya sendiri atas kejadian itu setiap hari.

Kenyataan bapa mangsa itu dipetik sebagai berkata: “Kehilangan anak perempuan saya memberi kesan kepada seluruh keluarga... Kehidupan kami kini tidak akan seperti dulu lagi.”

Peguam bela, Encik Kalaithasan Karuppaya, pula memohon hukuman penjara antara tujuh tahun enam bulan hingga lapan tahun bagi anak guamnya itu. Beliau bersetuju dengan larangan memandu seumur hidup.

Encik Kalaithasan berkata: “Ini adalah parut yang akan kekal bersamanya seumur hidup.”

Encik Kalaithasan menyatakan bahawa Syafie sebelum ini pernah berkhidmat dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sebagai guru al-Quran, namun digantung daripada mengajar pada 2024 berikutan kes tersebut.

Sepucuk surat yang ditulis oleh Syafie kepada keluarga mangsa telah dilampirkan dalam rayuan mitigasi kepada mahkamah.

Encik Kalaithasan berkata: “Di dalam surat tersebut, dia melahirkan rasa kesal yang mendalam atas tindakannya serta kesakitan dan penderitaan yang diakibatkannya.

“Dia menyampaikan permohonan maaf yang tulus ikhlas kepada mangsa dan keluarga mereka serta mengakui betapa seriusnya kejadian tersebut.

“Luahan penyesalannya secara peribadi dalam bentuk tulisan mencerminkan keinsafannya yang sejati dan kekesalan teramat sangat atas perbuatannya.”

Hakim Daerah Kanan, Encik Toh Han Li, berkata beliau memerlukan masa untuk mempertimbangkan hujah-hujah daripada kedua-dua belah pihak dan menangguhkan penjatuhan hukuman.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti