Lelaki yang didakwa menyebabkan kemalangan yang melibatkan enam kenderaan, termasuk mengorbankan nyawa seorang pelajar Maktab Rendah Temasek (TJC), kembali ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan baru.
Muhammad Syafie Ismail didakwa di Mahkamah Negara dengan satu lagi pertuduhan memandu secara berbahaya berhubung insiden maut yang berlaku pada 22 April 2024.
Ini menjadikan jumlah pertuduhan yang sedang dihadapinya meningkat kepada lima.
Pertuduhan baru itu menyatakan cara memandunya menyebabkan kecedaraan parah kepada dua lagi pemandu, Encik Chia Tong Chai, 65 tahun, dan Encik Muhammad Azril Mahmood, 49 tahun.
Encik Azril dikatakan sedang memandu anaknya, Afifah Munirah Muhammad Azril, 17 tahun, yang pada ketika itu pelajar tahun pertama di TJC, ke acara sukan sekolahnya sebelum kemalangan tersebut berlaku.
Allahyarhamha Afifah merupakan antara dua mangsa nahas tersebut, selain juruteknik kanan, Cik Norzihan Juwahib, 57 tahun.
Sebelum ini, Syafie, 44 tahun, telah didakwa atas kesalahan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian dan kecederaan, serta gagal berhenti selepas kemalangan.
Pihak pendakwaan memaklumkan mereka bersedia meneruskan prosiding bagi tiga daripada pertuduhan tersebut, manakala dua lagi pertuduhan akan diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.
Syafie dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak $30,000 sejak didakwa buat kali pertama pada 25 April 2024.
Sebagai sebahagian ikat jaminnya, dia tidak dibenarkan menghubungi saksi daripada pihak pendakwa dan harus melaporkan diri kepada pegawai penyiasat apabila diarahkan.
Dia juga dikenakan memakai alat pantauan elektronik atau ‘e-tagging’.
Menurut dokumen mahkamah, Syafie didakwa gagal berhenti di lampu isyarat merah ketika memandu menuju ke Tampines Avenue 4 pada pagi 22 April 2024.
Akibatnya, kereta yang dipandunya bertembung dengan dua kenderaan lain – menyebabkan salah satu daripadanya berpusing dan melanggar sebuah van sebelum terbalik. Van itu kemudian merempuh sebuah bas mini.
Kemalangan tersebut turut menyebabkan kecederaan kepada Cik Lee Yau Meng dan Encik Weng Haifeng, kededuanya 42 tahun, dan Encik Mohammad Azman Mohd Enjah, 39 tahun.
Dua budak lelaki berusia 11 tahun turut cedera akibat kemalangan tersebut.
Kes Syafie dijadual diketengahkan dalam persidangan praperbicaraan pada 26 Jun.
Bagi kesalahan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian, pesalah boleh dihukum penjara antara dua dengan lapan tahun serta boleh hilang kelayakan memandu.
Pesalah yang dikenakan hukuman memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kecederaan pula boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda sehingga $10,000, atau kededuanya sekali.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg