Topik diikuti
Pergi ke BHkuPakar siber buru aliran dana, cegah kerugian mangsa
Pakar siber buru aliran dana, cegah kerugian mangsa
Meskipun seseorang itu mungkin masih percaya bahawa pemindahan mata wang kripto mereka adalah sah, Encik Muhammad Syazwan Suhaimi mungkin sudah dapat mengesan tanda-tanda yang menunjukkan sebaliknya.
Sejak menyertai Jabatan Siber Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Julai, beliau merupakan antara penyiasat awam yang membantu memantau pergerakan mata wang kripto, menjejak dana dan bertindak apabila wang sampai ke platform yang membolehkan ia dibekukan.
“Sebahagian besar tugas saya melibatkan kerjasama dengan pasukan berbeza – pegawai penyiasat yang menjejak dana, pasukan teknikal yang membangunkan alat dan keupayaan siasatan, serta rakan luar seperti bursa mata wang kripto dan agensi penguatkuasaan undang-undang luar negara apabila jejak itu merentasi sempadan.
“Jenayah mata wang kripto jarang kekal dalam sempadan yang jelas, dan tugas saya mencerminkan keadaan itu,” katanya.
Peranan itu menjadi semakin penting sejak Jabatan Siber mula beroperasi pada Julai untuk memperkukuh usaha SPF menangani penipuan dan bentuk jenayah siber lain.
Antara 1 Julai dengan 31 Ogos, lebih 355 individu dikenal pasti dan dibantu menerusi operasi bersama Jabatan Siber dan penyedia khidmat token pembayaran digital (DPT), sekali gus mengelakkan kerugian berpotensi melebihi $8.94 juta.
Penyedia DPT yang terlibat termasuk Coinbase, Coinhako, DTCPay, Gemini, Independent Reserve, OKX, StraitsX dan Upbit.
Di situ peranan penyiasat seperti Encik Syazwan menjadi penting, apabila maklumat pelanggan daripada penyedia DPT digunakan untuk mengenal pasti bakal mangsa dan membolehkan pegawai campur tangan sebelum lebih banyak wang hilang.
Bagi Encik Syazwan, kepantasan bertindak penting kerana dana yang dicuri boleh berpindah merentasi beberapa mata wang kripto dalam tempoh beberapa minit.
“Kes seperti ini lebih rumit berbanding penipuan biasa. Kami perlu memahami bagaimana penggodaman itu dilakukan, yang bermakna kami perlu meneliti kod di sebaliknya, bukan sekadar mengikuti aliran wang.”
“Pada masa sama, wang yang dicuri boleh berpindah merentasi mata wang kripto berbeza dalam beberapa minit, jadi kami juga perlu bergerak sepantas itu,” katanya.
Menurut Penolong Superintenden Polis (ASP) Lee Hua Sheng daripada Komand Antipenipuan, penipuan mata wang kripto membawa cabaran berbeza berbanding penipuan tradisional.
“Berbeza daripada pemindahan bank konvensional, urus niaga mata wang kripto bergerak pantas, merentasi sempadan dan sukar dibatalkan. Sebaik sahaja dana dipindahkan, usaha untuk membekukannya menjadi amat sukar.
“Penipu mengambil kesempatan daripada ciri ini dengan memindahkan dana dengan pantas melalui beberapa dompet digital dan bidang kuasa dalam tempoh beberapa saat, bagi mengaburkan jejak wang tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, gabungan kepakaran di bawah Jabatan Siber membolehkan pegawai bertindak lebih pantas apabila pergerakan dana dikesan, tambah Encik Syazwan.
Menurutnya, beliau pernah mengendalikan kes melibatkan sebuah bursa mata wang kripto yang digodam, dengan hampir $8.8 juta dicuri.
“Untuk menutup jejak, penjenayah mengalirkan wang yang dicuri melalui ‘cryptocurrency mixer’. Apa yang menjadikan kes itu sukar bukan sekadar merungkai urus niaga yang telah dicampurkan, tetapi juga kerana wang itu mula dipindahkan sebaik sahaja ia dicuri. Jadi, kami juga perlu bertindak sepantas itu,” kata beliau.
Dengan latar belakang dalam keselamatan siber serta kepakaran dalam mata wang kripto dan rantaian blok, Encik Syazwan turut memberi panduan teknikal kepada pegawai penyiasat dan membangunkan alat mengikut keperluan kes.
Salah satu alat tersebut membantu pegawai meneliti transaksi mata wang kripto yang sengaja dicampurkan bagi mengaburkan dari mana wang datang dan ke mana ia dihantar.
“Apabila penjenayah cuba memindahkan dana, mereka boleh cuba ‘mencuci’ wang itu menerusi sebuah ‘cryptocurrency mixer’. Ia seperti mesin basuh – dana dicampurkan dan dipindahkan melalui tempat berbeza.
“Alat yang saya bangunkan membantu kami menjejaki semula aliran itu, termasuk apabila wang akhirnya sampai ke sebuah bursa,” katanya.
Sebelum menyertai Cabang Siasatan Jenayah Siber (CIB), beliau bertugas dalam bidang dasar keselamatan siber dan rantaian blok.
“Saya ingin beralih daripada kerja dasar dan nasihat kepada tugas di lapangan, dan menggunakan kepakaran keselamatan rantaian blok dalam kes sebenar.
“Saya mahu menggunakan pengetahuan itu untuk menjejaki wang sebenar, dalam kes sebenar, melibatkan mangsa sebenar,” katanya.
Kepakaran itu kini digunakan untuk membangunkan alat dalaman yang membantu pegawai dalam siasatan dan penyelesaian kes.
Tugas Encik Syazwan tidak hanya tertumpu pada aspek teknikal, malah perlu juga berdepan dengan bakal mangsa yang masih yakin bahawa pelaburan mereka adalah sah, meskipun terdapat tanda mereka sedang ditipu.
“Kadangkala mereka benar-benar percaya pelaburan itu bukan satu penipuan. Penipu pula memang sangat pandai meyakinkan mereka, jadi kami akan cuba berulang kali untuk menjelaskan bahawa mereka sebenarnya sedang ditipu.
“Ia tidak semestinya berhasil pada kali pertama. Kadangkala selepas panggilan kedua dan selepas mereka membuat pemeriksaan sendiri, baru mereka sedar bahawa ia memang satu penipuan,” katanya.
Bagi Encik Syazwan, pengalaman sedemikian menunjukkan pentingnya orang ramai memahami bagaimana penipuan mata wang kripto terus berubah, sedang penjenayah mencari cara baharu untuk memindahkan atau menyembunyikan dana.
“Dalam tempoh dua bulan ini, perkara terbesar yang saya pelajari ialah tiada dua kes yang mengikuti corak yang sama. Setiap kali kita fikir kita sudah melihat semua helah yang digunakan, penjenayah akan mencari cara baharu untuk memindahkan atau menyembunyikan dana.
“Sebab itu kami perlu sentiasa menyesuaikan diri dan tidak boleh hanya bergantung pada apa yang berkesan dalam kes sebelum ini,” katanya.
– Laporan tambahan oleh SHADI HANNAN
