Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerugian dek tipu e-dagang naik hampir 20%
Meskipun jumlah kes penipuan dan jenayah siber secara keseluruhan terus mencatat penurunan pada separuh pertama 2026, penipuan e-dagang kekal antara jenis penipuan utama, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF).
Ini kerana penipuan e-dagang mencatat jumlah kes tertinggi antara semua jenis penipuan, manakala jumlah kerugian turut meningkat berbanding tempoh sama pada 2025.
Demikian menurut Laporan Penipuan dan Jenayah Siber Pertengahan Tahun Pasukan Polis Singapura (SPF).
SPF mendedahkan bahawa kerugian akibat penipuan e-dagang meningkat hampir 20 peratus kepada sekitar $8.3 juta, berbanding sekitar $7 juta dalam tempoh sama pada 2025.
Secara keseluruhan, sebanyak 3,865 kes dilaporkan antara Januari dengan Jun 2026, meningkat 19.3 peratus berbanding 3,240 kes dalam tempoh sama pada 2025.
Malah, ia menyumbang sekitar 23 peratus daripada keseluruhan 16,821 kes penipuan yang dilaporkan dalam tempoh tersebut.
Penipuan pancingan data pula menduduki tempat kedua, merangkumi sekitar 18 peratus daripada keseluruhan kes, diikuti penipuan pelaburan pada kira-kira 13 peratus.
Antara barangan yang paling kerap digunakan untuk memperdaya mangsa ialah kad dagangan Pokémon, kata SPF.
Kes melibatkan kad tersebut meningkat lebih dua kali ganda berbanding 2025, daripada 279 kes pada separuh pertama 2025 kepada 605 kes dalam tempoh sama pada 2026.
Malah, kerugian berkaitan kad dagangan Pokémon turut melonjak 172.4 peratus kepada $1.2 juta pada 2026, berbanding sekitar $472,000 pada 2025.
Menurut SPF, peningkatan itu sebahagian besarnya didorong oleh trend prapesanan.
Dalam kes sedemikian, mangsa biasanya menemui iklan bagi kad dagangan Pokémon atau barangan koleksi dan barangan peminat popular lain, seperti batang cahaya K-pop, di platform dalam talian.
Penipu kemudian memujuk mangsa supaya memindahkan wang sebagai deposit atau membuat bayaran penuh terlebih dahulu bagi mendapatkan barangan tersebut, sedangkan tarikh penghantaran yang dijanjikan lazimnya beberapa bulan kemudian.
“Mangsa biasanya hanya menyedari mereka telah ditipu apabila gagal menerima barangan pada tarikh yang dijanjikan, atau selepas menemui hantaran dalam talian daripada pembeli lain yang turut menjadi mangsa penjual sama,” menurut SPF.
Platform e-dagang dan media sosial utama telah secara berperingkat memperkenalkan pelbagai langkah bagi memperkukuh keselamatan platform masing-masing, tambah SPF.
Antara langkah perlindungan yang dilaksanakan adalah melalui Carousell, yang memperkenalkan sistem pembayaran berasaskan eskrow dengan penghantaran yang boleh dijejaki, pengesahan dua faktor bagi log masuk daripada peranti baharu, serta ciri perlindungan dalam aplikasi yang menghalang pengguna daripada membuat pemindahan wang di luar platform tersebut.
Di bawah Kod E-Dagang, Carousell dikehendaki mengesahkan identiti pengguna yang mengiklankan atau menawarkan penjualan barangan dan perkhidmatan berdasarkan rekod rasmi pemerintah menerusi proses yang dikenali sebagai “pengesahan dipertingkat”.
Carousell melaksanakan pengesahan dipertingkat ke atas penjual dan pengiklan terpilih yang dianggap berisiko tinggi antara 1 Julai dengan 31 Disember 2024.
Facebook (Meta) juga telah memperketat langkah pengesahan di platformnya, termasuk menerusi pengesahan pengiklan dan pengesahan berasaskan risiko bagi penjual serta halaman tertentu.
Langkah itu bertujuan meningkatkan kebertanggungjawaban pengguna dan menyukarkan penipu daripada menyalahgunakan platform dalam talian.
Penipuan e-dagang terus berlaku meskipun kes penipuan dan jenayah siber secara keseluruhan terus merosot.
Sementara itu, jumlah kes penipuan dan jenayah siber susut 17.9 peratus kepada 18,391 kes pada separuh pertama 2026, berbanding 22,397 kes dalam tempoh sama pada 2025.
Daripada jumlah itu, 16,821 kes atau 91.5 peratus merupakan kes penipuan.
Jumlah kerugian akibat penipuan pula susut 17.9 peratus daripada sekitar $500.2 juta kepada $410.6 juta.
SPF menambah, platform beli-belah dalam talian kekal sebagai antara saluran yang membimbangkan dalam usaha menangani penipuan.
Jumlah kes di mana penipu menghubungi mangsa menerusi platform beli-belah dalam talian meningkat 1.8 peratus kepada 1,890 kes pada separuh pertama 2026, berbanding 1,857 kes dalam tempoh sama pada 2025.
Daripada jumlah itu, 82.3 peratus berlaku di Carousell, 10.7 peratus di Facebook Marketplace dan 3.1 peratus di Lazada.
Dalam pada itu, SPF menggesa pengguna supaya menilai ciri keselamatan yang disediakan sesebuah platform sebelum melakukan urus niaga dalam talian.
Antara ciri yang perlu diberi perhatian ialah langkah pengesahan identiti pengguna berdasarkan rekod pemerintah, mekanisme pembayaran dalam platform yang selamat dan hanya melepaskan bayaran selepas penghantaran disahkan, serta sistem proaktif yang dapat mengesan dan memadam akaun, iklan serta kegiatan mencurigakan.
“Langkah sedemikian dapat memberi pengguna jaminan lebih besar ketika berurus niaga dalam talian, di samping mengurangkan peluang bagi penipu mengeksploitasi platform e-dagang.
“Platform yang menyediakan rangkaian ciri perlindungan lebih menyeluruh lazimnya menawarkan lapisan keselamatan tambahan kepada pengguna, meskipun jenis dan tahap ciri keselamatan yang disediakan berbeza-beza antara platform,” tambah SPF.
