Seorang pemandu kereta berdaftar Singapura berusia 27 tahun sedang disiasat selepas dia didakwa membuat pusingan ‘U’ secara haram di Lebuhraya Linkedua di Johor, mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal.
Kejadian yang berlaku di KM0.6 lebuh raya itu pada petang 9 Mei lalu itu, berlaku selepas Maserati merah itu merempuh pengadang besi ketika membuat pusingan U di celah pembahagi jalan.
Hentakan itu menghantar serpihan pengadang logam ke lorong bertentangan, mencetuskan kemalangan empat kenderaan.
Seorang penunggang motosikal berusia 26 tahun maut selepas merempuh pengadang besi yang tercabut daripada pembahagi jalan.
Rakaman nahas itu, yang tular di media sosial, menunjukkan kereta tersebut berhenti di lorong paling kiri ke arah laluan bertentangan, menghala ke Singapura.
Sejurus kemudian, seorang penunggang motosikal dilihat melanggar serpihan.
Menurut laporan New Straits Times (NST) pada 10 Mei, penunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan kaki.
Beberapa penunggang motosikal lain turut terjatuh selepas melanggar serpihan tetapi tidak kelihatan cedera parah.
Ketua polis daerah, Penolong Pesuruhjaya (ACP) M. Kumarasan berkata beberapa pengguna jalan raya kemudian menyerang pemandu kereta Maserati itu dengan topi keledar sebelum polis tiba di tempat kejadian, menurut laporan NST.
Sebuah video yang dimuat naik di laman Facebook SGRV, yang sejak itu mendapat lebih 300,000 tontonan, menunjukkan beberapa penunggang motosikal menjerit sambil mengelilingi kereta tersebut dan memukul bahagian kereta dengan topi keledar mereka.
Dalam imej seterusnya, kereta itu boleh dilihat dalam keadaan cermin depan pecah dan bonet yang rosak.
“Sebelum kejadian, sebuah kereta jenis Maserati dipandu lelaki warga Singapura berusia 27 tahun melakukan pusingan ‘U’ di lokasi yang tidak dibenarkan untuk menghala ke arah Singapura,” jelas ACP Kumarasan.
Lebuhraya Linkedua merupakan nadi utama untuk trafik rentas sempadan, menghubungkan pusat pemeriksaan Tuas Singapura ke negeri Johor di Malaysia.
Kes disiasat atas kesalahan menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu dan berbahaya.
Akhbar The Straits Times telah menghubungi polis Malaysia, jabatan trafik Malaysia dan polis Singapura untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg