Hyflux bergantung pada pelabur runcit dan institusi bagi membiayai projek Tuaspring kendaliannya selepas menghadapi masalah mendapatkan pinjaman bank, kata pihak pendakwaan pada hari pertama perbicaraan melibatkan bekas eksekutif kanan loji rawatan air yang menemui kegagalan itu.
Timbalan Ketua Pendakwa Raya, Christopher Ong, menyatakan bahawa konsortium bank awalnya melahirkan kesediaan bagi membiayai projek itu tetapi pada 2011, meluahkan keprihatinan selepas mengetahui tentang strategi Hyflux menjual elektrik untuk memberi subsidi pada penjualan air kepada PUB.
Menurut The Straits Times (ST), ini menyebabkan Hyflux akhirnya mengeluarkan pelaburan keutamaan (pelaburan khas di mana dividen dibayar kepada pemilik saham sebelum dividen saham biasa diberikan) bagi membiayai projek air dan tenaga bersepadu.
Kerugian syarikat itu telah menyebabkan 34,000 pelabur cagaran tanpa tarikh kematangan tetap dan pelaburan keutamaan, yang telah mengeluarkan sejumlah $900 juta secara keseluruhan, menggigit jari.
Bekas pekerja Hyflux dan wakil bank yang terlibat dalam rundingan pembiayaan projek air dan tenaga bersepadu Tuaspring dijangka memberi keterangan kelak. Keseluruhannya, tujuh orang telah didakwa atas kegagalan Hyflux mendedahkan maklumat berkaitan Tuaspring.
Enam daripada mereka – pengasas dan bekas Ketua Eksekutif Hyflux, Olivia Lum Ooi Lin; bekas Ketua Pegawai Kewangan, Cho Wee Peng; dan bekas pengarah bebas Teo Kiang Kok, Christopher Murugasu, Gay Chee Cheong, dan Lee Joo Hai – akan tampil dalam perbicaraan selama 56 hari – dari 11 Ogos hingga 5 Februari 2026.
Seorang defendan lain telah menarik diri daripada kes tersebut.
Pendakwaan akan meneruskan 11 pertuduhan termasuk dua daripada enam pertuduhan yang dihadapi Lum. Baki empat pertuduhan terhadap Lum telah dibatalkan.
Pihak pendakwaan, dalam kenyataan pembukaan kepada mahkamah pada 11 Ogos, berkata Hyflux memenangi tender untuk loji penyahgaraman kedua dan terbesar di Singapura dengan tawaran terendah.
Ia bercadang menjual air kepada PUB pada harga tarif tahun pertama $0.45/meter padu, sekurang-kurangnya 27 peratus lebih rendah daripada pesaingnya.
DPP Ong berkata: “Pada harga ini, loji penyahgaraman akan beroperasi dengan kerugian. Ia sebenarnya mahu menjual sebahagian besar kuasa yang dijananya kepada grid nasional.”
Bagi membiayai projek Tuaspring, Hyflux mendapatkan pinjaman $527 juta daripada konsortium bank.
Enam bank telah bersetuju untuk membiayai projek tersebut. Tetapi mereka tidak diberitahu tentang rancangan Hyflux untuk membina loji jana kuasa dan menjual lebihan elektrik kepada grid pada masa itu, kata DPP Ong.
Pada 4 Julai 2011, hanya tiga daripada enam bank asal – DBS, Mizuho Corporate Bank dan Sumitomo Mitsui Banking Corporation – melanjutkan pembiayaan Hyflux sebanyak $150 juta. Ia akhirnya dihentikan Hyflux.
Tuaspring akhirnya dibiayai oleh pinjaman $840.4 juta daripada pemegang saham Hyflux yang seterusnya dibiayai semula oleh Maybank Singapore dan Maybank Kim Eng Securities.
Pada Januari 2011, pengurusan Hyflux mula mempertimbangkan untuk mengeluarkan saham keutamaan, yang pada hakikatnya, adalah bagi membiayai Tuaspring selepas ia sukar mendapatkan pembiayaan bank.
Pada 13 April 2011, Hyflux telah mengemukakan Kenyataan Maklumat Tawaran (OIS) bersama Penguasa Kewangan Singapura (MAS) untuk menawarkan hingga $200 juta dalam 6 peratus pelaburan keutamaan.
Tetapi kenyataan itu tidak menyebut risiko yang timbul daripada kemasukan Hyflux ke dalam perniagaan elektrik, atau yang dikaitkan dengan strategi Hyflux untuk Tuaspring, kata pihak pendakwaan.
Kejatuhan harga elektrik melanda Hyflux dengan teruk. Dalam laporan tahunan 2017, ia melaporkan kerugian $115.6 juta selepas cukai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg