Perbicaraan jenayah yang telah lama dinantikan, melibatkan pengasas dan bekas Ketua Eksekutif Hyflux, Olivia Lum Ooi Lin; mantan Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Cho Wee Peng; serta beberapa mantan anggota lembaga pengarah syarikat itu akan bermula pada 11 Ogos, hampir tiga tahun selepas mereka didakwa melanggar Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan.
Buat masa ini, seorang defendan telah menarik diri daripada kes tersebut.
Secara keseluruhan, tujuh individu telah didakwa kerana sengaja tidak mendedahkan maklumat berkaitan Projek Bersepadu Air dan Kuasa Tuaspring, antara lain.
Enam daripada mereka akan membela diri terhadap pertuduhan tersebut dalam perbicaraan selama 56 hari yang dijadualkan berlangsung dari 11 Ogos hingga 5 Februari 2026.
Pertuduhan itu difailkan lebih setahun selepas syarikat rawatan air tersebut diluluskan untuk ditutup pada 2021, menyebabkan kira-kira 34,000 pelabur sekuriti kekal dan saham keutamaan yang secara keseluruhan melabur sekitar $900 juta, tidak mendapat sebarang pulangan.
Pada 11 Ogos, pihak pendakwaan akan meneruskan 11 pertuduhan terhadap enam defendan tersebut.
Ini termasuk dua daripada enam pertuduhan yang dihadapi Lum, manakala empat lagi pertuduhan terhadapnya ditangguhkan buat sementara waktu.
Dua pertuduhan yang diteruskan itu melibatkan persetujuan Lum bagi Hyflux untuk tidak memasukkan maklumat berkaitan Tuaspring, meskipun maklumat itu wajib didedahkan menurut peraturan penyenaraian Bursa Saham Singapura (SGX).
Menurut pertuduhan tersebut, maklumat itu diperlukan bagi mengelakkan kewujudan pasaran palsu bagi sekuriti Hyflux.
Pertuduhan itu juga menyatakan Lum telah bersetuju untuk sengaja tidak memaklumkan SGX bahawa Tuaspring merupakan projek peluasan perniagaan baru Hyflux dalam penjualan elektrik, serta keuntungan loji itu bergantung pada hasil jualan elektrik – yang dijangka menyumbang sebahagian besar daripada jumlah keseluruhan keuntungan syarikat.
Keadaan ini mempengaruhi pendedahan Tuaspring kepada risiko pasaran yang timbul daripada harga elektrik yang tidak menentu.
Jika disabitkan kesalahan bagi pertuduhan ini, Lum, 64 tahun, berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda maksimum sebanyak $250,000, atau kedua-duanya sekali.
Lum juga didakwa atas kegagalan Hyflux mendedahkan maklumat Tuaspring dalam kenyataan tawaran saham keutamaan bernilai $200 juta pada 13 April 2011.
Jika disabitkan kesalahan bagi pertuduhan ini, Lum berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda maksimum $150,000, atau kedua-duanya sekali.
Cho, 56 tahun, yang juga Naib Presiden Eksekutif kumpulan Hyflux, didakwa kerana bersubahat dalam kegagalan Hyflux mendedahkan maklumat mengenai Tuaspring.
Bekas pengarah bebas (ID) Hyflux yang turut didakwa atas kesalahan berkaitan pendedahan maklumat tersebut ialah: Teo Kiang Kok, 69 tahun; Christopher Murugasu, 66 tahun; Gay Chee Cheong, 69 tahun; dan Lee Joo Hai, 69 tahun.
Pertuduhan terhadap tujuh individu ini adalah hasil siasatan bersama pada Jun 2020 oleh Jabatan Ehwal Komersial (CAD), Penguasa Kewangan Singapura (MAS), dan Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg