Selepas bapanya merogolnya, remaja perempuan berusia 15 tahun itu melarikan diri ke pusat polis kejiranan (NPC) ketika lelaki itu sedang mandi.

Apabila pergi mencari anaknya dan melihat remaja itu sedang duduk di dalam NPC, bapanya tahu semuanya sudah berakhir.

Dia pulang ke rumah untuk menukar pakaian, menuju ke balai polis lalu menyerah diri.

Pada 7 September, lelaki yang kini berusia 51 tahun itu mengaku bersalah atas tuduhan rogol, mencabul kehormatan dan satu kes lain iaitu pecah amanah jenayah (CBT).

Dua lagi tuduhan CBT dan satu tuduhan mengintai (voyeurism) kerana mengambil gambar dada mangsa akan diambil pertimbangan apabila dia dijatuhkan hukuman pada 2 November.

Tuduhan CBT tersebut berkaitan dengan wang $23,000 yang diselewengnya daripada majikannya antara Januari dengan Jun 2023, ketika dia memegang jawatan sebagai pengurus besar syarikat berkenaan.

Penyelewengan tersebut terbongkar apabila dia ditahan pada 11 Ogos 2024, berhubung kes serangan seksual berkenaan.

Dia mempunyai rekod lampau seperti menipu, CBT dan pernah dijatuhi hukuman latihan pemulihan selama lima tahun pada 2009 atas kesalahan memberi pinjaman wang.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Eric Hu memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa mangsa telah didera secara fizikal semasa membesar.

Menurut The Straits Times, dalam banyak kejadian, lelaki itu akan menarik rambutnya, memukulnya dengan penyangkut baju dan merotannya berkali-kali atas kesalahan kecil.

Pada malam 10 Ogos 2024, lelaki itu memarahinya tentang tahap kebersihan rumah mereka.

Dia naik berang, menolak semua barang dari atas meja makan ke lantai, dan menyuruh mangsa masuk ke biliknya.

Keesokan paginya, lelaki itu pergi ke bilik mangsa untuk mengejutkannya.

Apabila mangsa tidak memberi sebarang respons, dia menyelak selimut yang menutupi badan gadis itu lalu mencabul dan merogolnya.

Gadis tersebut amat terkejut tetapi tidak bertindak balas kerana takut tindakannya akan menaikkan kemarahan lelaki itu, kata DPP.

Pihak pendakwaan memohon hukuman penjara antara 13 tahun lapan bulan dengan 14 tahun sembilan bulan, berserta tambahan penjara 18 hingga 24 minggu sebagai ganti bagi sembilan hingga 11 sebatan rotan.