Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong gesa rakyat S’pura tolak komen berbaur kebencian
Sentiasa ada pihak yang mahu eksploitasi perbezaan di S’pura, tetapi bagaimana negara ini bertindak balas terpulang kepada rakyat
Perdana Menteri (PM) Lawrence Wong berkata akan sentiasa ada pihak yang mahu mengeksploitasi perbezaan di Singapura, tetapi bagaimana negara ini bertindak balas terpulang kepada rakyat Singapura.
Meskipun bukan semua komen berbaur kebencian dalam talian boleh dihentikan, “kita boleh menolak pandangan sedemikian, dan enggan memberi ruang atau kesahihan yang lebih kepada mereka,” tambahnya.
Singapura terus kekal bersatu kerana ia secara konsisten menolak percubaan untuk memecahbelahkannya mengikut garis perkauman atau agama, dan sebaliknya memilih untuk mengiktiraf satu sama lain sebagai sesama rakyat Singapura, katanya dalam satu catatan di Facebook pada 6 September.
“Kita mesti terus membuat pilihan itu,” kata PM Wong sambil menggesa rakyat Singapura agar berpegang teguh kepada Ikrar Negara - “tanpa mengira bangsa, bahasa, atau agama”.
Beliau mengulas mengenai komen-komen anti-India yang muncul dalam talian berikutan banjir besar di Nepal yang menyebabkan sembilan rakyat Singapura masih hilang.
Komen sedemikian juga timbul berhubung pelaburan syarikat penerbangan SIA dalam Air India.
PM Wong berkata walaupun Singapura boleh dan patut mengadakan perbahasan yang sihat, namun hujah-hujah yang seolah-olah sah tidak seharusnya digunakan sebagai alasan untuk meniupkan prasangka terhadap mana-mana masyarakat atau permusuhan terhadap warga asing.
“Kita harus jelas tentang perbezaan tersebut,” tegas PM Wong.
“Pandangan ini tidak mewakili Singapura. Namun, kita juga tidak boleh mengabaikannya sebagai sembang dalam talian yang tidak berbahaya. Jika tingkah laku sedemikian dibiarkan, ia boleh menjadi kebiasaan, mendalamkan rasa curiga antara masyarakat, dan memecahbelahkan kita.”
Sebabnya itulah beliau membincangkan perkembangan tersebut bersama rakan-rakan Kabinetnya dan Menteri Kanan, Encik K. Shanmugam, bercakap mengenainya pada 5 September, tambahnya.
Menurut Encik Shanmugam, polis sedang meneliti komen-komen yang berbaur perkauman dan xenofobia tersebut.
Beliau menyifatkan beberapa komen sedemikian sebagai “memalukan, mencerca dan tidak boleh diterima sama sekali”, dengan rujukan kepada ular, kari, prata, ilmu hitam dan stereotaip perkauman yang lain.
Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital juga akan meminta pihak platform untuk menurunkan komen-komen sedemikian kerana ia melanggar garis panduan, tambahnya.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, turut bersuara menentang komen sedemikian pada 6 September, dan menyatakan bahawa perkara itu amat merisaukan serta menggesa rakyat Singapura supaya “menolak kebencian”.
PM Wong menarik perhatian bahawa kemunculan komen dalam talian sedemikian bukanlah sesuatu yang baharu, di mana sentimen anti-warga asing dan perkauman pernah dicetuskan semasa pandemik Covid-19 dan dalam perdebatan mengenai Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif (CECA) antara Singapura dengan India.
Ia juga muncul semasa Pilihan Raya Umum 2025 yang menyaksikan beliau bersuara menentang sebarang percubaan untuk membawa isu kaum dan agama ke dalam arena politik.
