Topik diikuti
Pergi ke BHkuSM Lee: Komen perkauman, kebencian terhadap masyarakat India membimbangkan
Gesa rakyat terus bekerja keras untuk kukuhkan perpaduan, lindungi keharmonian kaum
Adalah sangat membimbangkan melihat komen berunsur perkauman dan kenyataan penuh kebencian ditujukan kepada masyarakat India berikutan tragedi banjir di Nepal, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, pada 6 September sambil menggesa rakyat Singapura supaya “menolak kebencian”.
Pada masa sebegini, respons yang sepatutnya diberikan adalah belas kasihan dan perpaduan, kata beliau, sambil menambah bahawa rakyat Singapura harus berdiri bersama tanpa mengira kaum, bahasa atau agama.
Menulis dalam kiriman Facebook, Encik Lee berkata Singapura akan sentiasa terdedah kepada tarikan emosi yang memecahbelahkan, seperti godaan untuk membangkitkan prasangka dan permusuhan kaum.
Walaupun negara ini berusaha ke arah toleransi dan rasa hormat antara kaum, manusia tidak buta warna kulit, dan isu kaum serta agama akan sentiasa menjadi garisan retak dalam masyarakat, tambah beliau.
Singapura mesti terus bekerja keras untuk mengukuhkan perpaduan dan melindungi keharmonian kaum, kata Encik Lee.
“Apabila insiden seperti ini berlaku, pemimpin mesti bersuara dengan tegas dan yakin untuk menolak apa yang berlaku, mengecam manipulasi emosi semula jadi, dan menyeru semua rakyat Singapura untuk berdiri bersama,” kata beliau.
Beliau menarik perhatian bahawa Menteri Kanan, Encik K. Shanmugam, telah membuat kenyataan pada 5 September untuk menjelaskan isu-isu berkenaan.
Encik Shanmugam memberitahu media bahawa polis sedang meneliti komen berunsur perkauman dan xenofobia berhubung kejadian banjir di Nepal dan pelaburan Singapore Airlines (SIA) dalam Air India.
Encik Shanmugam berkata beberapa komen dalam talian mengenai isu itu adalah “memalukan, mencerca dan sama sekali tidak boleh diterima”, dengan rujukan kepada ular, kari, roti prata, ilmu hitam dan stereotaip perkauman yang lain.
Beliau berkata beliau membuat keputusan untuk menyelar mereka yang membuat komen sedemikian supaya tingkah laku tersebut tidak menjadi perkara biasa, yang seterusnya boleh merendahkan martabat wacana awam dan menjejas keharmonian sosial.
Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) juga akan meminta platform media sosial untuk menurunkan komen sedemikian kerana ia melanggar garis panduan, kata Encik Shanmugam.
Beliau juga menarik perhatian bagaimana ketua pegawai eksekutif (CEO) Temasek, Encik Dilhan Pillay Sandrasegara, dan pengurusan kanan syarikat gergasi pelaburan itu diserang dalam talian selepas dilaporkan bahawa Air India sedang mencari pelaburan kira-kira AS$1.5 bilion ($1.9 bilion) daripada pemegang sahamnya, termasuk SIA.
Encik Shanmugam berkata serangan itu amat jahat, dan termasuk komen “jahat dan berunsur fitnah” yang mendakwa CEO Temasek itu akan memberi keutamaan kepada Air India kerana beliau berketurunan India.
Encik Lee mengimbas bahawa pemimpin Singapura pernah bersuara mengenai insiden serupa yang berkaitan dengan kaum dan agama dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Dalam Rapat Hari Kebangsaan 2021 semasa beliau Perdana Menteri, Encik Lee telah menangani sentimen anti-India yang dikaitkan dengan virus Covid-19.
Semasa Pilihan Raya Umum 2025, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, perlu menyelar cubaan untuk menggunakan agama bagi membangkitkan kemarahan pengundi Islam terhadap pemerintah, tambah Encik Lee.
“Pada masa-masa sebeginilah kita menyedari makna sepenuhnya daripada kata-kata Ikrar Negara, dan betapa pentingnya untuk kita berusaha sedaya upaya menghayati ideal ini,” kata Encik Lee.
