Jenayah & Mahkamah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Respons sepakat segenap masyarakat perlu bagi tangani radikalisasi belia

Apr 3, 2025 | 5:12 PM
Masjid Maarof ialah salah satu daripada lima masjid yang disenaraikan oleh remaja lelaki berusia 17 tahun untuk melancarkan serangan. Pada Mac, remaja itu dikenakan Perintah Tahanan (DO) oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) setelah dia merancang membunuh sekurang-kurangnya 100 orang Islam di lima masjid.
Masjid Maarof ialah salah satu daripada lima masjid yang disenaraikan oleh remaja lelaki berusia 17 tahun untuk melancarkan serangan. Pada Mac, remaja itu dikenakan Perintah Tahanan (DO) oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) setelah dia merancang membunuh sekurang-kurangnya 100 orang Islam di lima masjid. - Foto ST

Pendedahan remaja lelaki berusia 17 tahun yang didakwa merancang untuk menyerang lima masjid di sini, dan seorang remaja perempuan 15 tahun yang menyatakan sokongan terhadap ISIS amat membimbangkan, kata Presiden Taman Bacaan, Encik Abdul Halim Kader.

Beliau berkata kejadian itu menonjolkan trend berbahaya melibatkan belia yang menjadi radikal sendiri secara dalam talian dan melalui ideologi ekstrem.

Ia sekali gus menuntut tindak balas sepakat daripada semua sektor masyarakat.

Beliau berkata demikian susulan pengumuman Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 2 April, yang mendapati kededua remaja itu terpengaruh dengan radikalisasi secara sendiri dan telah dikenakan perintah di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Februari dan Mac 2025.

Dalam satu kenyataan pada 3 April, Encik Abdul Halim, memuji ketangkasan ISD dalam mengambil tindakan menangani ancaman tersebut, tetapi berkata ia “bukanlah satu kejadian terpencil”.

“Sejak sekian lama, Taman Bacaan telah mendukung pendekatan nasional yang lebih kukuh dan padu bagi menentang radikalisasi. Masa untuk kebimbangan pasif sudah berakhir,” ujarnya.

Beliau mengetengahkan tindakan kukuh yang boleh diambil melalui lima teras merangkumi dasar pemerintah, peranan keluarga dan pihak waris, pendidikan, peraturan teknologi dan akses media sosial bagi golongan bawah umur menerusi tindakan undang-undang.

Ini memandangkan ancaman radikalisasi tidak boleh ditangani secara berasingan, sebaliknya, ia memerlukan tindak balas jitu daripada segenap lapisan masyarakat, tambahnya.

“Penahanan dua remaja ini merupakan satu seruan untuk bangkit,” ujar beliau.

ISD dalam satu kenyataan pada 2 April mendedahkan seorang lelaki warga Singapura berusia 17 tahun telah dikenakan Perintah Tahanan (DO) pada Mac setelah dia merancang membunuh sekurang-kurangnya 100 orang Islam di lima masjid.

Kelima-lima masjid itu adalah Masjid Maarof, Masjid Jamek Queenstown, Masjid Darussalam, Masjid An-Nur dan Masjid Hajjah Fatimah.

Dia merancang melancarkan serangan bersenjata selepas solat Jumaat sebelum membunuh diri, kata ISD, sambil menambah, remaja itu mengakui dia ingin melancarkan serangan jika berjaya mendapatkan senjata api.

Dalam kenyataan yang sama, ISD menyatakan seorang pelajar perempuan warga Singapura berusia 15 tahun dikenakan Perintah Sekatan (RO) di bawah ISA pada Februari 2025.

Dia remaja wanita pertama dikenakan RO setelah didapati menyatakan sokongan terhadap kumpulan militan ISIS setelah mengambil bai’ah atau berikrar kepada ISIS.

Dia juga ingin berkahwin dengan seorang anggota militan ISIS dan bersedia berjuang bagi kumpulan itu di Syria.

Remaja perempuan tersebut adalah individu kedua termuda yang ditahan ISD, selepas dua remaja lelaki berusia 14 dan 15 tahun ditahan sejak 2022.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg