Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Remaja tidak dapat lakukan serangan kerana gagal beli senjata api

Apr 2, 2025 | 8:25 PM
Remaja lelaki berusia 17 tahun itu didapati terdedah kepada bahan Islamofobia dan ekstremis sayap kanan dalam talian.  
Remaja lelaki berusia 17 tahun itu didapati terdedah kepada bahan Islamofobia dan ekstremis sayap kanan dalam talian.   - Foto fail

Untuk melaksanakan serangan di masjid di Singapura, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun telah melakukan beberapa percubaan untuk mendapatkan senjata api, namun usahanya gagal.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) juga mendapati dia terdedah kepada bahan Islamofobia dan ekstremis sayap kanan dalam talian.

Ini termasuk pandangan perkaumannya terhadap orang Melayu, menyebabkan dia membenci Islam serta masyarakat Melayu/Islam.

Menurut kenyataan ISD pada 2 April, remaja itu merupakan kenalan dalam talian kepada Nick Lee Xing Qiu, seorang rakyat Singapura berusia 18 tahun yang telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Disember 2024.

Mendapat inspirasi daripada insiden tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, pada Mac 2019, remaja berusia 17 tahun itu berhasrat melakukan perkara serupa di Masjid Maarof.

Pada Jun 2024, remaja lelaki itu menyenaraikan lima masjid – Masjid Maarof, Masjid Jamek Queenstown, Masjid Darussalam, Masjid An-Nur, and Masjid Hajjah Fatimah – bagi tujuan serangannya.

Namun, hasratnya itu tidak kesampaian selepas dikenakan Arahan Penahanan (OD) di bawah ISA pada Mac 2025.

Apabila ditahan, dia mengakui bahawa dia belum melaksanakan serangannya kerana gagal mendapatkan senjata api.

Menurut ISD, antara Februari dengan April 2024, remaja itu telah menghubungi individu dalam talian dari Amerika Syarikat yang mendakwa dirinya seorang pembuat senjata api.

“Individu tersebut memberitahunya bahawa sukar untuk menyeludup bahagian senjata api ke Singapura, dan mencadangkan supaya mencetak bahagian-bahagian senjata api dan peluru menggunakan pencetak 3D.

“Namun, remaja itu tidak meneruskan idea ini disebabkan kos dan masalah teknikal,” kata ISD.

Kenyataan itu menambah, dia juga menghubungi seseorang dari luar negara untuk membeli dan menyeludup pistol Glock 19 ke Singapura, namun transaksi tersebut tidak berhasil.

Dia juga bertanya mengenai pembelian pistol replika daripada penjual dalam talian untuk mengubahnya menjadi senjata api berfungsi.

Namun, dia tidak meneruskan pembelian tersebut apabila penjual meminta bayaran pendahuluan.

“Remaja itu juga mempertimbangkan untuk membeli senjata api dan peluru di Malaysia atau Thailand, dan menyeludupnya ke Singapura melalui darat.

“Untuk memastikan dia boleh mengendalikan senjata api, dia menonton video dalam talian mengenai cara mengendalikan senjata api dan merancang untuk mengunjungi pusat menembak di Amerika,” tambah kenyataan itu.

Dia dikenali mempunyai ancaman radikal semasa siasatan ISD terhadap Nick Lee, selepas kededuanya didapati telah bertukar bahan Islamofobia dan pelampau di media sosial.

Mereka menjadi radikalisasi secara berasingan. Kededuanya tidak pernah bertemu dan tidak mengetahui rancangan masing-masing untuk melancarkan serangan di Singapura.

ISD berkata remaja berusia 17 tahun itu mula diradikalisasi pada 2022, apabila dia terdedah kepada bahan Islamofobia dan ekstremis sayap kanan dalam talian.

Dia kerap mengongsikan bahan Islamofobia dan ekstremis sayap kanan untuk menghasut kebencian terhadap masyarakat Islam.

Selain itu, dia terlibat dalam perbincangan dalam talian dengan masyarakat Islam untuk mengkritik Islam.

Seperti Lee, dia menggelarkan dirinya sebagai pertuanan Asia Timur atau East Asia supremacist, mempercayai bahawa etnik Han Cina, Korea, dan Jepun adalah lebih unggul berbanding orang Melayu dan India.

Pada November 2023, dia menonton video tembakan Christchurch di media sosial dan menyelidik tentang penembak, Brenton Tarrant.

Remaja tersebut merasakan kepuasan daripada menonton masyarakat Islam ditembak dan menganggap Tarrant sebagai wira kerana membunuh masyarakat Islam.

Remaja itu berkongsi dalam talian bahawa Singapura seharusnya mempunyai individu seperti Tarrant untuk menembak orang Melayu dan masyarakat Islam bagi menghalang mereka daripada menggantikan orang Cina sebagai kaum dominan.

Menjelang awal 2024, dia mahu mencontohi Tarrant dan menembak umat Islam di masjid-masjid di sini dengan senapang AK-47.

Dipengaruhi oleh kandungan anti-Semitik dalam talian, remaja itu juga berfantasi untuk membunuh orang Yahudi tetapi tidak mempunyai sebarang rancangan serangan yang konkrit mengenainya.

Sesuai dengan itu, dia berhasrat untuk membunuh 100 anggota masyarakat Islam di masjid selepas mereka melaksanakan solat Jumaat untuk mencontohi Tarrant.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg