Menyangka bahawa jam Rolex GMT Saru yang dibelinya dengan harga kira-kira 60,000 euro ($89,727) adalah palsu, seorang lelaki cuba menipu seorang peruncit dengan menukarnya dengan tiga jam Rolex lain bernilai lebih $94,000 secara keseluruhan.

Namun, jam Rolex GMT Saru tersebut, yang biasanya bernilai sekitar $120,000, sebenarnya adalah jam tulen.

Warga Italy, Singh Deepak, 24 tahun, telah dihadapkan ke mahkamah atas cubaan penipuan dan dijatuhi hukuman tujuh bulan penjara pada 20 April.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Sean Teh memberitahu mahkamah bahawa hanya terdapat 20 jam Rolex GMT Saru tulen di pasaran.

“Kes ini melibatkan percubaan yang mustahil, bermakna tiada kerugian sebenar yang berlaku,” kata DPP Teh.

Sekiranya jam Rolex GMT Saru itu adalah palsu, jumlah yang terlibat adalah $94,700.

Dokumen mahkamah menyatakan pada Februari atau Mac 2025, Singh membeli jam itu daripada seorang kenalan yang dikenali sebagai ‘Matteo’. 

Dia menyerahkan 55,000 euro tunai dan sebuah gelang Cartier bernilai sekitar 5,000 euro sebagai pertukaran bagi jam Rolex tersebut.

Singh kemudiannya pergi ke kedai-kedai jam untuk menyemak kesahihannya, dan salah satu kedai memberitahunya bahawa nombor siri jam Rolex GMT Saru tulen “mungkin telah diukir menggunakan laser” pada jam miliknya.

Menyangka bahawa Matteo telah menipunya, Singh beranggapan jam itu adalah palsu dan membuat keputusan untuk menjualnya.

Pada 27 November 2025, dia terbang ke Singapura dan pergi ke sebuah kedai jam di Bencoolen Street pada keesokan harinya.

Dia menunjukkan jam tersebut berserta kad warrantinya kepada pengarah kedai dan mereka bersetuju dengan harga $94,700.

Singh menukar jam tersebut dengan tiga jam lain – Rolex Submariner bernilai $44,000, serta Rolex Daytona dan Rolex GMT, masing-masing bernilai lebih $25,000.

Selepas Singh meninggalkan kedai, pengarah itu pergi ke kedai jam berdekatan untuk memeriksa jam Rolex GMT Saru itu.

DPP Teh berkata: “Atas nasihat pemilik kedai lain, mangsa menggunakan kanta pembesar untuk memeriksa nombor siri yang terukir pada jam itu dan mendapati bahawa nombor siri telah dihapuskan dan diukir semula menggunakan laser.”

Selepas pemeriksaan lanjut, pengarah itu turut beranggapan jam tersebut adalah palsu. Beliau cuba menghubungi Singh beberapa kali sebelum membuat laporan polis.

Singh akhirnya menjawab panggilannya dan berkata akan kembali ke kedai itu.

Namun, dia menempah penerbangan ke Italy dan ditangkap di Lapangan Terbang Changi pada malam 28 November 2025.

Pada 3 Disember 2025, polis membawa jam Rolex GMT Saru itu ke Pusat Servis Rolex, di mana seorang juruteknik mengesahkan bahawa semua bahagian jam itu adalah tulen dan asli.

Pada 20 April, pendakwa raya menggesa mahkamah untuk menjatuhkan hukuman setahun penjara ke atas Singh.