Seorang remaja yang diarahkan oleh bekas bapa tirinya untuk mencuri jam tangan mewah bernilai lebih $47,000 daripada seorang pengguna Carousell, menarik diri tiga kali sebelum akhirnya melaksanakan jenayah itu dengan bantuan rakannya.
Bekas bapa tirinya juga menjanjikannya bahagian yang lebih besar daripada hasil jualan jam tangan tersebut.
Nigel Tan, 19 tahun, dijatuhi hukuman latihan pemulihan pada 14 Ogos setelah mengaku bersalah atas satu tuduhan menipu, lapor The Straits Times (ST).
Bekas bapa tiri Nigel, Kyoshirocaeden Tan Lee Yu, 37 tahun, masih bebas.
Rakan sejenayah Nigel, Lucian Tan Keat Hong, 20 tahun, juga ditangkap, namun dokumen mahkamah tidak menyatakan jika dia telah didakwa.
Kyoshirocaeden Tan berkahwin dengan ibu Nigel ketika Nigel berusia sekitar tiga tahun.
Setelah mereka bercerai pada 2019, Nigel mula tinggal bersama Tan pada 2022.
Tan tidak bekerja, sementara Nigel bekerja sebagai pelayan.
Pada 22 April 2024, Tan memberitahu Nigel bahawa beliau sangat memerlukan wang dan meminta bantuan Nigel untuk menipu seseorang supaya menyerahkan jam tangan mahal yang kemudian boleh dijual.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Tung Shou Pin, berkata:
“(Nigel) terkejut tetapi bersetuju selepas Kyoshirocaeden berulang kali memintanya dan meyakinkannya mereka tidak akan ditangkap.”
Pada 23 dan 24 April, Lucian dan Nigel bertemu dua penjual jam di Carousell tetapi tidak mencuri.
Pada 25 April, Tan menggunakan akaun Carousell Nigel untuk mengatur pertemuan dengan pemilik Rolex bernilai $47,800.
Mereka bersetuju pada harga $46,000, tetapi masih tidak mencuri.
Setelah Tan menjanjikan bahagian lebih besar, mereka bertemu semula dengan pemilik jam tersebut.
Kali ini, selepas Lucian memakai jam itu untuk bergambar, mereka melarikan diri.
Pemilik jam itu gagal mengejar mereka dan polis dihubungi.
Lucian kemudian menyerahkan jam itu kepada Tan, yang memindahkan $5,000 ke akaun bank teman wanita Nigel.
Nigel tidak mengeluarkan bahagian duitnya, sementara Lucian mengeluarkan $1,750 daripada akaun tersebut.
Kedua-dua mereka akhirnya ditangkap.
Satu laporan mendapati Nigel sesuai untuk menjalani latihan pemulihan, manakala peguamnya, Encik Vadi P.V.S.S., memohon probesen tanpa rekod jenayah.
Pegawai probesen menilai Nigel tidak sesuai untuk probesen akibat kesalahan lalu yang membawa amaran bersyarat.
Encik Vadi berkata amaran bersyarat yang diterima Nigel sebelum ini bukanlah satu pengesahan kesalahan.
“Untuk kesalahan ini, dia berada dalam keadaan yang luar biasa.
“Bapa tirinya ada di sana, mengawasi dan memaksanya untuk melakukan perkara tertentu.
“Dia bukanlah seorang penjenayah tegar. Dia takut... dia tidak mahu melakukannya (pada mulanya),” kata peguam itu.
Hakim Daerah Carol Ling mendapati Nigel sesuai menjalani latihan pemulihan sekurang-kurangnya selama enam bulan.
Beliau mengingatkan Nigel bahawa setiap tindakan membawa akibat dan menambah:
“Ia tidak menentukan siapa diri anda. Ia tidak menetapkan siapa anda pada masa depan.
“Bab baru dalam hidup anda akan bermula selepas ini.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg