Jenayah & Mahkamah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Seatrium bayar penalti $241.7j kepada Brazil, S’pura bagi selesaikan kes rasuah

Jul 30, 2025 | 5:43 PM
Syarikat tersenarai Seatrium yang sebelum ini dikenali sebagai Sembcorp Marine, terlibat dalam skandal rasuah besar di Brazil yang dikenali sebagai ‘Operation Car Wash’, melibatkan dakwaan pemberian rasuah bagi mendapatkan kontrak.
Syarikat tersenarai Seatrium yang sebelum ini dikenali sebagai Sembcorp Marine, terlibat dalam skandal rasuah besar di Brazil yang dikenali sebagai ‘Operation Car Wash’, melibatkan dakwaan pemberian rasuah bagi mendapatkan kontrak. - Foto SEATRIUM

Syarikat luar pesisir dan marin Singapura, Seatrium, akan membayar penalti kewangan berjumlah $241.7 juta kepada pihak berkuasa Singapura dan Brazil bagi menyelesaikan kes rasuah yang berpanjangan di Brazil.

Syarikat tersenarai itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Sembcorp Marine, terlibat dalam skandal rasuah besar di Brazil yang dikenali sebagai ‘Operation Car Wash’, melibatkan dakwaan pemberian rasuah bagi mendapatkan kontrak.

Pengumuman itu dibuat pada 30 Julai, sehari sebelum syarikat itu dijadual mengeluarkan laporan kewangannya bagi separuh pertama tahun kewangan 2025, lapor The Straits Times (ST).

Dalam pemfailan kepada Bursa Singapura (SGX) pada 30 Julai, Seatrium berkata ia telah menandatangani perjanjian pengurangan penalti, atau leniency agreement, dengan pejabat pendakwa raya awam Brazil dan pihak berkuasa lain.

Di bawah perjanjian itu, Seatrium akan membayar penyelesaian akhir berjumlah sekitar $168.4 juta kepada pihak berkuasa Brazil.

Syarikat itu juga dikehendaki membayar penalti sebanyak US$110 juta ($141.5 juta) kepada pihak berkuasa Singapura, di bawah perjanjian pendakwaan tertunda (DPA) yang dimeterai dengan Pejabat Peguam Negara (AGC) Singapura.

Namun, AGC bersetuju untuk membenarkan sehingga US$53 juta daripada bayaran kepada pihak berkuasa Brazil dikreditkan terhadap penalti kewangan di Singapura. Justeru, jumlah yang perlu dibayar Seatrium di bawah DPA adalah sekitar $73.3 juta.

DPA yang ditandatangani pada 30 Julai dengan pihak berkuasa Singapura itu tertakluk kepada kelulusan Mahkamah Tinggi Singapura.

Dengan ini, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Jabatan Ehwal Komersial (CAD) Polis Singapura telah menamatkan siasatan bersama mereka terhadap kesalahan yang mungkin dilakukan, jelas Seatrium.

“Tiada tindakan akan diambil terhadap syarikat dan/atau pegawainya,” kata Seatrium.

AGC dalam satu pengumuman berasingan pada 30 Julai berkata, Seatrium dikehendaki untuk menyemak semula dan membuat penambahbaikan lanjut terhadap program etika dan pematuhannya bagi mengurangkan risiko kejadian serupa berulang.

Sekiranya Seatrium gagal mematuhi terma DPA yang telah diluluskan Mahkamah Tinggi, pihak pendakwa raya boleh memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk menamatkan DPA tersebut.

Pendakwa raya kemudian boleh memulakan prosiding jenayah terhadap Seatrium berkaitan dengan dakwaan kesalahan tersebut.

Syarikat itu berkata dalam kenyataan pada 30 Julai bahawa ia telah membuat peruntukan dalam penyata kewangannya untuk pembayaran penyelesaian dan penalti kewangan.

“Susulan perjanjian muktamad dengan pihak berkuasa Brazil dan Singapura, syarikat telah mengurangkan peruntukan dana sebanyak $14 juta dalam penyata kewangan bagi tempoh kewangan yang berakhir 30 Jun, mengambil kira pembayaran penyelesaian dan penalti kewangan akhir, kadar pertukaran semasa serta perbelanjaan lain,” tambahnya.

“Oleh itu, (penalti tersebut) tidak memberi kesan besar terhadap pendapatan bersih dan aset nyata bersih per saham kumpulan bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember.”

Seatrium berkata ia “ingin maju ke depan” dan memanfaatkan peluang pasaran tenaga untuk membangunkan penyelesaian tenaga luar pesisir yang inovatif dan mencapai pertumbuhan mampan jangka panjang. 

Syarikat itu juga menegaskan ia telah melaksanakan dasar dan prosedur kukuh bagi memastikan disiplin, etika, dan pematuhan tinggi di keseluruhan operasi globalnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg