Topik diikuti
Pergi ke BHkuShanmugam: Pemerintah proaktif ubah undang-undang demi tangani cabaran semasa, maju kepentingan awam
Shanmugam: Pemerintah proaktif ubah undang-undang demi tangani cabaran semasa, maju kepentingan awam
Shanmugam: Pemerintah proaktif ubah undang-undang demi tangani cabaran semasa, maju kepentingan awam
Hampir 1,000 undang-undang telah diluluskan sepanjang 25 tahun lalu sambil pemerintah secara proaktif memperbaharui perundangan bagi menangani cabaran dunia sebenar serta memajukan kepentingan awam, kata Menteri Kanan, Encik K. Shanmugam.
Menurut beliau, undang-undang tersebut telah mengubah landskap perundangan merentasi pelbagai aspek masyarakat Singapura.
Pada masa yang sama, ia turut membentuk semula rangka masyarakat, sekali gus memberi manfaat kepada sebahagian besar rakyat.
Antara pembaharuan yang diperkenalkan termasuk memperkemas sistem keadilan keluarga bagi mengurangkan kos serta tekanan emosi akibat perceraian dan mewujudkan rangka kerja timbang rata untuk mengukuhkan kedudukan Singapura di peringkat antarabangsa.
Ini serta menggubal undang-undang kecemasan semasa pandemik Covid-19 untuk menawarkan bantuan kewangan kepada rakyat Singapura dan perniagaan, selain pelbagai pembaharuan lain.
Di Singapura, perubahan kepada undang-undang dilaksanakan oleh pemerintah menerusi proses perundangan di Parlimen, namun ia tidak selalunya berlaku sedemikian di negara lain, kata Encik Shanmugam, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara.
Menurut beliau, Parlimen menyerahkan tanggungjawab menggubal undang-undang kepada mahkamah di banyak negara, disebabkan kebuntuan politik, pertikaian, atau sekadar ketiadaan iltizam politik.
Akibatnya, mahkamah terpaksa melaksanakan pembaharuan undang-undang walaupun ia bukan institusi yang diperlengkap bagi menjalankan peranan tersebut.
“Kuasa pemerintah untuk menggubal undang-undang merupakan satu kuasa yang amat penting. Ia menjadi asas apabila kita ingin melaksanakan pembaharuan undang-undang, atau meminda undang-undang.
“Di Singapura, perubahan dan pembaharuan undang-undang dilakukan oleh pemerintah. Mahkamah pula memainkan peranan tradisinya, iaitu mengaplikasikan undang-undang kepada kes yang dibawa di hadapannya,” kata beliau.
Encik Shanmugam, yang menyandang jawatan Menteri Undang-Undang dari 2008 hingga 2025, berkata demikian semasa majlis pelancaran siri empat jilid yang merakamkan pembaharuan undang-undang Singapura sepanjang 25 tahun yang lalu.
Beliau menambah semasa tempoh beliau sebagai Menteri Undang-Undang, pemerintah secara sengaja dan pragmatik menggubal undang-undang yang membentuk landskap perundangan negara bagi menangani cabaran semasa, membuat keputusan yang sukar, dan memajukan kepentingan awam.
“Pembaharuan undang-undang mengubah hak dan tanggungjawab. Ia mewujudkan institusi, serta menentukan bila negara campur tangan dan di mana sempadan harus ditetapkan,” ujar Encik Shanmugam.
Beliau mengimbau kembali pengalaman bertemu dua wanita secara berasingan semasa Sesi Bertemu Penduduk (MPS) yang dihadirinya.
Kedua-duanya berada dalam keadaan tertekan kerana berdepan proses perceraian yang berlarutan serta membebankan dari segi kewangan di bawah undang-undang ketika itu.
Keadaan tersebut akhirnya mendorong pemerintah meluluskan Akta Keadilan Keluarga pada 2014, yang membawa kepada penubuhan Mahkamah Keadilan Keluarga.
Pada 2015 pula, laluan perceraian dipermudah telah diperkenalkan bagi membolehkan kes perceraian diselesaikan dengan lebih cepat, pada kos yang lebih rendah, serta mengurangkan konflik antara pihak-pihak yang terlibat.
Pada 2026, sekitar dua pertiga daripada kira-kira 6,000 kes perceraian yang difailkan setiap tahun di Singapura dikendalikan menerusi laluan perceraian dipermudah.
Tempoh median bagi menyelesaikan kes turut dipendekkan kepada empat bulan, manakala kosnya dianggarkan antara $1,000 dengan $3,000 sekiranya pertikaian dapat diselesaikan pada peringkat awal.
Menyentuh tentang pembaharuan tersebut, Encik Shanmugam berkata apabila pembaharuan undang-undang itu mula dicadangkan, tiada siapa menyangka undang-undang keluarga perlu diubah kerana itulah amalan yang telah sekian lama dilaksanakan.
“Saya menyebut perkara ini untuk menegaskan satu hakikat asas mengenai pembaharuan undang-undang: kita hanya dibatasi oleh idea dan imaginasi kita sendiri,” jelasnya.
Berucap di majlis yang sama, Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong, berkongsi bahawa pembaharuan undang-undang di Singapura tidak pernah dilaksanakan semata-mata demi melakukan perubahan.
“Ia dilaksanakan untuk memperkukuh kepercayaan, menyokong kemajuan, dan memastikan sistem perundangan kita terus memenuhi keperluan Singapura serta rakyatnya,” katanya.
Menurut beliau, di sebalik setiap pembaharuan itu terselit usaha bertahun-tahun yang dilaksanakan dengan penuh teliti, melibatkan penyelidikan, perundingan, perbahasan serta proses penggubalan undang-undang.
Encik Tong mendapati bahawa 25 tahun mendatang akan membawa cabaran baharu apabila kecerdasan buatan (AI), teknologi digital, dan perubahan demografik menguji sistem perundangan Singapura dengan cara yang baharu.
“Kekuatan Singapura bukan sekadar terletak kepada memiliki undang-undang yang baik. Ia terletak kepada keingingan kami untuk sentiasa menyemak undang-undang tersebut, keberanian untuk menambah baiknya, serta menyesuaikannya mengikut tuntutan keadaan,” ujar beliau.