Setiap generasi rakyat Singapura perlu memperkukuh sistem perundangan yang diwarisinya, menyesuaikannya dengan realiti baharu, dan mewariskannya kepada generasi seterusnya dalam keadaan yang telah dikemas kini serta dipertingkat.

Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, berkata demikian pada 28 Julai semasa pelancaran buku bersiri yang mendokumentasikan 25 tahun pembaharuan undang-undang di Singapura.

Menurut beliau, undang-undang yang kukuh, institusi yang mantap serta kepercayaan masyarakat terhadap institusi awam telah banyak menyumbang kepada kejayaan Singapura.

Namun, usaha menegakkan kedaulatan undang-undang tidak pernah benar-benar selesai.

Siri empat jilid buku itu memberikan gambaran tentang pertimbangan dasar, pertukaran keutamaan dan usaha pelbagai pihak di sebalik beberapa pembaharuan undang-undang paling penting di Singapura sepanjang tempoh antara 2000 dengan 2025.

Kira-kira 200 tetamu menghadiri majlis pelancaran itu, termasuk wakil daripada sektor perundangan serta editor dan penulis yang menyumbang kepada penerbitan siri tersebut.

Dalam ucapannya, Encik Lee berkata antara ciri utama pendekatan Singapura terhadap tadbir urus ialah memastikan sistem perundangan sentiasa mengikut perubahan dalam masyarakat, kemunculan ancaman baharu dan perkembangan teknologi bagi mengekalkan kedaulatan undang-undang.

“Setiap generasi perlu menilai sistem yang diwarisinya, menentukan sama ada ia masih relevan dan sesuai dengan tujuannya, mengemas kini atau memansuhkan bahagian yang sudah lapuk, serta menggubal dan meluluskan undang-undang baharu untuk menangani keadaan yang berubah,” katanya.

Beliau berkata buku bersiri itu mendokumentasikan satu bab penting dalam perjalanan yang lebih panjang, sambil menjelaskan matlamat yang perlu dicapai oleh satu set undang-undang yang baik bagi memenuhi keperluan Singapura.

Pertama, undang-undang perlu menangani keperluan nasional.

Beliau berkata bagi melindungi perpaduan sosial dalam masyarakat berbilang kaum dan agama, Singapura telah melaksanakan pelbagai dasar untuk menggalakkan interaksi sosial antara masyarakat, memupuk identiti kebangsaan, serta menerapkan perlindungan penting dalam institusi dan undang-undang negara.

Kedua, satu set undang-undang yang baik perlu bertindak balas terhadap cabaran baharu dan yang sedang muncul.

Contohnya, Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (Pofma) digubal pada 2019 bagi menangani masalah berita palsu dalam talian yang semakin membimbangkan.

Selain itu, Undang-undang (Langkah Tindakan Balas) Campur Tangan Asing (Fica) diperkenalkan pada 2021 bagi memperkukuh keupayaan Singapura mengesan, mencegah dan menggagalkan campur tangan asing dalam politik domestik.

Encik Lee berkata pengajaran ketiga daripada perkembangan sistem perundangan Singapura ialah undang-undang perlu mampu bertindak balas dengan pantas ketika berlakunya krisis, sambil merujuk kepada pandemik Covid-19 sebagai contoh.

Dalam tempoh hanya sembilan hari, beliau berkata pemerintah berjaya membincangkan idea utama, menggubal rang undang-undang dan meluluskan Akta Covid-19 (Langkah-Langkah Sementara) di Parlimen melalui Sijil Tindakan Segera atau Certificate of Urgency dalam satu sidang.

Keempat, undang-undang juga perlu menyesuaikan diri dengan perubahan sosial.

Beliau berkata pembaharuan lazimnya merupakan antara yang paling mencabar untuk dilaksanakan, sambil merujuk kepada pemansuhan Seksyen 377A pada 2022 sebagai contoh penting.

Mengakhiri ucapannya, Encik Lee berkata generasi akan datang bakal berdepan pelbagai cabaran baharu yang belum pernah dihadapi sebelum ini.

Ia termasuk perkembangan kecerdasan buatan (AI), bentuk baharu kemudaratan dalam talian, penyebaran maklumat palsu dan campur tangan asing, perubahan iklim, perubahan demografi serta ketidaktentuan geopolitik.

“Apa yang memberi keyakinan kepada kita bukanlah kerana kita mempunyai semua penyelesaiannya, tetapi kerana Singapura telah membuktikan keupayaannya untuk menyesuaikan diri secara teliti dan pragmatik dengan keadaan yang sentiasa berubah,” tambahnya.