Jenayah & Mahkamah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siar kenyataan anti-Islam dalam talian: Doktor didenda $10,000

May 19, 2025 | 5:17 PM
mahkamah, hina agama, Facebook
Kho Kwang Po, 85 tahun, yang tidak lagi berkhidmat sebagai doktor mengaku bersalah atas satu pertuduhan melakukan perbuatan menghina agama lain. - Foto SHIN MIN

Seorang doktor yang menyiarkan hantaran anti-Islam di laman Facebook peribadinya pada 2021 dan meninggalkan negara pada 2022 semasa dalam siasatan, telah dikenakan denda maksimum $10,000.

Pada 19 Mei, Kho Kwang Po, 85 tahun, mengaku bersalah atas satu pertuduhan melakukan perbuatan yang menyinggung agama lain.

Kho, doktor yang tidak lagi berkhidmat, perlu menghabiskan dua minggu di penjara jika dia gagal membayar denda tersebut.

Namanya tidak ditemui dalam pangkalan data karyawan penjagaan kesihatan berdaftar Majlis Perubatan Singapura apabila The Straits Times memeriksanya pada 19 Mei.

Dokumen mahkamah tidak mendedahkan punca warga Singapura itu melakukan kesalahan tersebut, yang menurut Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Sean Teh, dilakukan dengan “niat sengaja untuk melukai perasaan perkauman umat Islam secara amnya”.

Pada 21 April 2021, Kho menyiarkan hantaran yang boleh dilihat orang ramai, iaitu tangkap layar kenyataan yang dia buat sebelum ini di Facebook pada 2016.

Kira-kira dua bulan kemudian, pada Jun 2021, seseorang telah membuat laporan polis bahawa “Kho Kwang Po secara terbuka membuat siaran berbaur perkauman di Facebook-nya. Catatan itu sangat menghina Islam”.

Lewat bulan itu, seorang lagi memaklumkan pihak berkuasa bahawa Kho menyiarkan bahan berunsur hasutan “memburukkan Islam” di Facebook selama beberapa tahun.

Kho meninggalkan Singapura ke lokasi yang tidak didedahkan pada Januari 2022 dan kembali pada Oktober 2024, kata polis sebelum ini.

Dia didakwa di mahkamah pada 26 Februari 2025.

Atas kesalahan seperti itu, pesalah boleh dikenakan penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Pada 19 Mei, DPP Teh menggesa mahkamah mendenda Kho jumlah maksimum $10,000 itu tanpa hukuman penjara, dengan berkata:

“Kami akur bahawa hantaran perkauman tertuduh tidak mendapat tarikan yang ketara. Kami juga telah mempertimbangkan usia lanjut tertuduh dan pengakuan bersalahnya.”

Peguam bela Kho, Encik Kenneth Au-Yong dan Encik Josiah Tan, merayu agar anak guam mereka dikenakan denda $6,000, dengan menyatakan bahawa Kho benar-benar menyesal atas perbuatannya dan tidak mungkin mengulangi kesalahan itu.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Eddy Tham berkata sebagai doktor, Kho sepatutnya lebih arif dan tidak melakukan kesalahan seperti itu.

Kho adalah satu-satunya orang yang mempunyai akses akaun Facebook itu, tambah DPP Teh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg