Polis akan mendakwa seorang lelaki berusia 85 tahun pada 26 Februari 2025 atas penglibatannya yang dikatakan memuat naik satu hantaran dalam talian dengan niat untuk menyinggung perasaan umat Islam.
Pada 29 dan 30 Jun 2021, polis menerima laporan berkaitan hantaran dalam talian di akaun Facebook lelaki tersebut yang mengandungi komen menghina Islam.
Siasatan mendapati pada 21 April 2021, lelaki itu telah berkongsi semula tangkap layar hantaran Facebook yang mengandungi komen menghina Islam dari lima tahun lalu.
Lelaki tersebut meninggalkan Singapura pada Januari 2022 semasa siasatan polis sedang dijalankan dan hanya kembali ke negara ini pada Oktober 2024.
Warga emas itu akan didakwa dengan satu tuduhan menyebabkan perkara dapat dilihat, dengan niat sengaja menyinggung perasaan melibatkan perkauman terhadap seseorang di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
Dakwaan itu khusus melibatkan hantaran di Facebook yang dibuat pada 21 April 2021.
Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya.
Polis memandang serius tindakan yang boleh menjejas keharmonian kaum dan agama di Singapura.
Mana-mana individu yang membuat kenyataan atau bertindak dengan cara yang boleh menimbulkan kebencian dan permusuhan antara kaum atau kumpulan agama yang berbeza di Singapura akan berdepan dengan tindakan tegas.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg