Topik diikuti
Pergi ke BHkuWanita dijel 13 tahun, rakam penderaan Megan Khung, bantu lupuskan mayat
Wanita dijel 13 tahun, rakam penderaan Megan Khung, bantu lupuskan mayat
Seorang wanita yang bersubahat dalam kes penderaan Megan Khung, kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, yang dilakukan bersama ibu mangsa dan teman lelaki ibunya itu, telah dijatuhi hukuman penjara 13 tahun pada 13 November.
Nouvelle Chua Ruoshi, 36 tahun, yang mempunyai seorang anak perempuan, turut membantu dua rakannya itu melupuskan mayat Megan selepas kanak-kanak itu meninggal dunia akibat dipukul pada 22 Februari 2020.
Malah, tiga sekawan itu telah membakar mayat Megan di dalam tong besi khas di sebuah bengkel kereta pada 8 Mei 2020.
Abu mayat Megan tidak pernah dijumpai.
Chua ialah individu ketiga dan terakhir yang dihukum penjara berhubung penganiayaan terhadap Megan, yang mengalami penderaan fizikal dan emosi selama lebih setahun sebelum dia meninggal dunia.
Sebaik sahaja mendengar hukuman itu, Chua menangis sambil menyapu air matanya dengan tisu.
Dia memandang saudara-mara dan rakan-rakannya yang duduk di ruang galeri awam. Mereka enggan bercakap kepada pihak media.
Pada April 2025, ibu Megan, Foo Li Ping, 31 tahun, dijatuhi hukuman penjara 19 tahun.
Teman lelaki Foo, Wong Shi Xiang, 40 tahun, yang memberikan pukulan maut itu, dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 17 sebatan rotan. Dia juga berdepan tuduhan berkaitan dadah.
Semasa menjatuhkan hukuman terhadap Chua, Hakim S. Mohan, menolak cubaan Chua untuk menyifatkan perbuatannya sebagai kurang kejam berbanding pasangan itu.
Hakim Mahkamah Tinggi itu berkata walaupun Chua mungkin tidak mendera Megan secara fizikal, dia bukanlah seorang pemerhati yang pasif.
Ini kerana Chua telah merakam kejadian Megan diaibkan pada sekurang-kurangnya enam kali, termasuk ketika kanak-kanak itu dalam keadaan bogel.
“Ini menunjukkan perbuatan melampau di pihak Chua,“ kata Hakim.
Beliau menambah, apabila Megan berada dalam kesakitan selepas dipukul hingga mati, Chua mengabaikan kanak-kanak itu dan mengambil dadah bersama Foo dan Wong.
Ini mengubahnya daripada sekadar pemerhati kepada peserta dalam perbuatan kejam yang melampau, jelas beliau.
Hakim menambah: “Chua memilih untuk bersubahat dan menikmati keseronokan sadisnya berbanding hati nuraninya.“
Chua mengaku bersalah pada 26 Oktober atas tiga tuduhan: satu kerana bersubahat dengan pasangan itu untuk mendera Megan; satu bagi pelupusan mayat Megan dengan sengaja; dan satu lagi bagi penggunaan dadah methamphetamine.
Tiga tuduhan lain kerana bersubahat ketika Megan didera diambil dalam pertimbangan ketika mahkamah menjatuhkan hukuman.