Pegawai penyiasat polis (IO) yang mengendalikan laporan pertama berhubung kes penderaan maut terhadap kanak-kanak berusia empat tahun, Megan Khung, telah meletak jawatan, sementara penyelia beliau dikenakan denda kewangan.
Pasukan Polis Singapura (SPF) mengesahkan perkara ini pada 23 Oktober, lapor The Straits Times (ST).
Sebuah panel semakan telah mengeluarkan laporan pada hari yang sama, yang membentangkan kelemahan beberapa agensi, termasuk Perkhidmatan Perlindungan Kanak-Kanak di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), serta polis, dalam kes ini.
Megan mengalami penderaan selama setahun sejak Februari 2019 oleh ibunya, Foo Li Ping, dan teman lelakinya, Wong Shi Xiang. Budak itu meninggal dunia pada Februari 2020, dan mayatnya dibakar serta tidak dijumpai.
Jurucakap polis berkata kedua-dua pegawai – iaitu IO dan pegawai penyelia (OC) pada masa itu – telah disiasat kerana cuai jalankan tugas.
Jurucakap tersebut tidak menyatakan jumlah denda kewangan yang dikenakan, tetapi menambah penyelia itu masih berkhidmat dengan SPF.
Foo dijatuhi hukuman penjara 19 tahun pada 3 April, manakala Wong dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 17 sebatan rotan. Seorang rakan pasangan itu juga telah ditangkap dan kesnya masih dalam siasatan.
Salah satu daripada lima penemuan utama panel semakan menyatakan kededua pegawai polis yang mengendalikan laporan pertama mengenai Megan gagal mengikuti prosedur yang ditetapkan.
Apabila nenek Megan membuat laporan polis pada 17 Januari 2020, IO menganggap ia sebagai kes disiplin kanak-kanak dengan kebimbangan keselamatan yang rendah.
Polis berkata laporan tersebut menyatakan nenek Megan tidak berhubung dengan Foo dan Megan untuk beberapa waktu, dan Foo telah menyekat nombor telefon nenek itu.
Jurucakap polis menjelaskan penilaian IO tersebut dengan berkata: “Tiada petunjuk penderaan kanak-kanak dalam laporan itu.”
Apabila kecederaan Megan ditemui pada 19 Mac 2019, prasekolah dan Beyond Social Services (BSS) menganggapnya sebagai disiplin berlebihan oleh Foo.
BSS menyediakan pelan penjagaan untuk Megan tinggal dengan neneknya, tetapi ini dilanggar apabila dia tinggal dengan Foo pada 10 September 2019, yang tidak dilaporkan polis.
IO juga mencuba menghubungi Foo dan menghantar mesej kepadanya, tetapi Foo tidak memberi respons. Kedudukan Foo dan Megan tidak diketahui.
IO itu menghentikan siasatan selepas gagal menghubungi Foo dan Megan selama dua minggu. Polis mendapati IO sepatutnya memaklumkan kepada OC untuk bimbingan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg