Proses pemeriksaan perubatan pemandu lesen vokasional warga emas dipermudah
Proses pemeriksaan perubatan pemandu lesen vokasional warga emas dipermudah
Proses pemeriksaan perubatan bagi pemandu lesen vokasional (VL) berumur 65 tahun dan ke atas akan dipermudah bagi mengelakkan kekeliruan mengenai jumlah pemeriksaan yang perlu dijalani.
Dalam kenyataan bersama pada 26 Januari, Polis Trafik (TP) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata mereka akan memperkenalkan Laporan Pemeriksaan Perubatan Gabungan (HMER) baru pada 2 Februari.
Sistem baru ini, yang menggabungkan borang perubatan kedua-dua agensi tersebut ke dalam satu borang, mempermudah keperluan bagi pemandu warga emas yang memegang kedua-dua lesen memandu dan lesen vokasional.
Pada masa ini, pemandu berumur 65 tahun dan ke atas dengan lesen vokasional dikehendaki menjalani pemeriksaan perubatan mengikut peraturan kedua-dua TP dan LTA.
Lesen vokasional diperlukan bagi mereka yang memandu teksi, kenderaan sewa privet, dan bas di Singapura.
Di bawah syarat TP, pemandu berumur 65 tahun dan ke atas dengan lesen Kelas 2 atau Kelas 3 perlu menjalani pemeriksaan perubatan setiap tiga tahun, manakala pemandu Kelas 4 atau Kelas 5 perlu menjalani pemeriksaan setiap tahun.
Manakala di bawah syarat LTA, pemandu VL berumur 65 tahun dan ke atas perlu menjalani pemeriksaan perubatan setiap tahun.
Segelintir pemandu VL mungkin secara tidak sengaja akan menjalani dua pemeriksaan perubatan apabila menerima surat pemberitahuan daripada kedua-dua agensi pada tahun yang sama, sedangkan mereka hanya perlu menjalani satu pemeriksaan sahaja.
Mulai 2 Februari, pemandu VL akan menerima hanya satu surat pemberitahuan setiap tahun – sama ada daripada TP atau LTA – apabila mereka perlu menjalani pemeriksaan perubatan, berbanding dua surat berasingan daripada kedua-dua agensi sebelum ini.
Pemandu berumur 65 tahun dan ke atas yang tidak memegang lesen vokasional akan terus menerima surat pemberitahuan daripada TP.
Selepas menerima surat pemberitahuan, pemandu boleh mengunjungi mana-mana pengamal perubatan berdaftar di Singapura yang menjalankan pemeriksaan kesesuaian memandu.
Pengamal perubatan akan menyerahkan borang HMER yang telah diisi terus kepada TP dan LTA bagi pihak pemandu.
Pemandu kemudian akan menerima pesanan ringkas (SMS) yang mengesahkan borang mereka telah dihantar.
Proses baru ini lebih mudah bagi para pemandu kerana mereka tidak perlu lagi mengimbas dan memuat naik borang perubatan ke portal agensi masing-masing.
Proses yang dipermudah ini juga akan merangkumi pemegang VL berumur dari 50 hingga 64 tahun yang dikehendaki LTA untuk menjalani pemeriksaan perubatan setiap dua tahun.
Di bawah sistem baru ini, pengamal perubatan akan menyerahkan laporan perubatan terus kepada LTA.
TP dan LTA berkata, inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha bersama mereka untuk mempermudah dan menjadikan proses pemeriksaan perubatan lebih mudah bagi pemandu VL lebih tua.

