Seorang Penduduk Tetap (PR) Singapura berusia 23 tahun dijadualkan didakwa di mahkamah pada 29 Julai atas tuduhan menyediakan wang bagi tujuan pengganasan, menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 28 Julai.

Menurut kenyataan tersebut, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) memulakan siasatan terhadap lelaki warga Myanmar itu setelah pihak berkuasa mengesan hantaran berunsur ekstremis yang dimuat naik olehnya, tambah MHA.

“Hasil siasatan ISD mendapati tertuduh menjadi radikal selepas terdedah kepada kandungan ekstremis dalam talian.

“Pada 2024, dia mula membenci orang Islam dengan mendalam selepas terdedah kepada kandungan bersifat Islamofobia dalam talian susulan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

“Dia juga menerima tafsiran ekstremis terhadap fahaman Zionisme dan percaya pembunuhan terhadap rakyat Palestin yang beragama Islam adalah wajar atas kepercayaan bahawa Tanah Suci yang disebut dalam kitab Bible merupakan hak eksklusif orang Yahudi,” kata MHA.

Namun, menjelang 2025, tertuduh mula membenci orang Yahudi selepas terdedah kepada naratif ekstremis sayap kanan dan anti-Semitik di media sosial.

Dia mula membuat hantaran dalam talian yang menyatakan sokongan terhadap penggunaan keganasan terhadap orang Yahudi dan Muslim.

Dia juga membuat demikian terhadap kumpulan lain yang lazim menjadi sasaran golongan ekstremis sayap kanan, seperti pendatang ke Eropah dan masyarakat lesbian, gay, dwiseksual, transjantina (LGBT), kata MHA.

Siasatan ISD turut mendedahkan dia telah memindahkan wang kepada seorang pengguna yang berpangkalan di luar negara, yang dikenalinya menerusi wadah media sosial X, pada Ogos 2024.

Pengguna itu mendakwa meminta derma secara dalam talian untuk membeli peralatan ketenteraan, yang tertuduh percaya adalah untuk tujuan memudahkan perbuatan pengganas di bandar Gaza yang bertujuan membasmi semua rakyat Palestin, termasuk orang awam.

“Memandangkan terdapat potensi kesalahan pembiayaan pengganasan, ISD merujuk tertuduh kepada Jabatan Ehwal Komersial (CAD) untuk siasatan.

“Siasatan selari yang dijalankan CAD mendapati tertuduh telah memindahkan AS$72.28 ($93.43) dan cuba memindahkan tambahan AS$1 ($1.29) ke akaun PayPal yang ditetapkan oleh pengguna X berkenaan bagi memudahkan pelaksanaan tindakan pengganasan di Bandar Gaza,” kata MHA.

MHA berkata menyediakan wang bagi menyokong tujuan pengganasan, tanpa mengira jumlahnya, merupakan kesalahan serius di bawah Akta Pengganasan (Penyekatan Pembiayaan).

Ia diperkenalkan pada 2002 untuk menangani pembiayaan pengganasan di sini.

Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga $500,000, dipenjara sehingga 10 tahun, atau kededuanya sekali.

“Pengganasan dan pembiayaan pengganasan merupakan ancaman serius terhadap keselamatan dalam negara dan antarabangsa, dan tindakan di peringkat sejagat diperlukan bagi menghalang kumpulan pengganas daripada memperoleh pembiayaan dan bahan yang diperlukan.

“Singapura merupakan sebahagian daripada usaha sejagat ini dan kekal komited untuk membanteras pembiayaan pengganasan, tanpa mengira sama ada wang itu digunakan bagi memudahkan pelaksanaan tindakan pengganasan di dalam atau di luar negara,” ujar MHA.

Kementerian tersebut menambah mereka tidak bertolak ansur dan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menggunakan Singapura sebagai pangkalan untuk menjalankan atau menyokong kegiatan pengganasan, sama ada di dalam mahupun di luar negara.

“Begitu juga, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang menyokong, mempromosikan, melaksanakan atau membuat persiapan bagi keganasan bersenjata, tanpa mengira bagaimana mereka cuba mewajarkan ideologi sedemikian atau di mana keganasan itu berlaku,” tegas MHA.