Dadah sintetik seperti fentanyl telah menjadi sangat kuat sehingga pengeluar dadah haram sengaja mengurangkan dos untuk menghalangnya daripada membunuh pelanggan mereka, kata seorang wartawan veteran dari Britain.
Encik Ioan Grillo yang telah melaporkan tentang gejala dadah dari Mexico selama lebih dua dekad, berada di Singapura untuk berucap di Forum Asia-Pasifik Menentang Dadah 2025, di Hotel Furama RiverFront dari 15 hingga 17 Mei.
Fentanyl yang digunakan sebagai ubat penahan sakit dan merupakan dadah terkawal Kelas A di Singapura – dianggarkan sehingga 100 kali lebih kuat daripada morfin.
Ia membunuh 76,000 orang di Amerika Syarikat pada 2023, dan 48,422 pada 2024.
Dalam ucapan perasmiannya di forum itu, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam berkata ancaman dadah sintetik semakin hampir kepada negara – selepas laporan muncul pada Mac bahawa Malaysia telah menemui kesan fentanyl dalam sistem kumbahannya.
Menyentuh pengalaman dengan kartel dadah di Mexico, Encik Grillo berkata fentanyl telah membunuh begitu ramai orang dan ia sebenarnya merupakan perniagaan yang sangat buruk bagi penjual dadah.
“Kerana anda membunuh pelanggan anda. Jadi mereka cuba mencari cara mencampurkannya dengan ubat lain atau ubat penenang,” tambahnya.
Encik Grillo berkata 20 tahun lalu, beliau boleh berbual dengan seorang pengguna atau penagih dadah.
Tetapi kesan ubat sintetik lebih ketara hari ini sehingga beliau hampir tidak dapat memahami perbualannya dengan penagih dadah.
Beliau berkata: “Golongan penagih hari ini benar-benar seperti zombi, dan sejumlah besar orang mati akibat dadah ini. Ia mungkin wabak dos berlebihan yang paling teruk dalam sejarah.”
Beliau menambah bahawa dadah sintetik moden boleh dihasilkan begitu sahaja sehinggakan dosnya lebih tinggi berbanding ubat-ubatan pada masa lalu.
Bercakap kepada The Straits Times pada 14 Mei, Encik Grillo berkata revolusi ubat sintetik telah muncul di Asia, dan akan menimbulkan masalah lebih besar daripada ubat tradisional berasaskan tumbuhan, seperti ganja.
Beliau berkata: “Jika anda melihatnya – masalah terbesar di Asia ialah methamphetamine, dan ia adalah dadah sintetik. (Pembekal) telah menemui pasaran besar di Filipina, di Malaysia, dan ia juga adalah masalah terbesar di Singapura.”
Perangkaan tahunan Biro Narkotik Pusat (CNB) menunjukkan methamphetamine adalah dadah paling kerap disalahgunakan di Singapura pada 2024.
Dalam laporan pada 2024, Lembaga Kawalan Narkotik Antarabangsa yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata perkembangan pesat ubat sintetik menjadi ancaman kesihatan awam peringkat sejagat.
Dadah itu, yang lebih murah untuk dibuat, bermakna keuntungan yang lebih besar bagi pengeluar dan pengedar.
Pada 2021, CNB memintas percubaan pertama mengangkut fentanyl dalam bentuk asli ke Singapura selepas merampas 200 botol mengandungi kira-kira 20 miligram opioid dalam bungkusan yang diimbas dari Vietnam.
Untuk menyelesaikan masalah dadah sejagat, mantan Penasihat Dasar Kawalan Dadah Kebangsaan Rumah Putih, Encik Kevin Sabet, berkata pemerintah harus menangani masalah dadah di peringkat tempatan terlebih dahulu.
Beliau berkata dalam kes Singapura, pencegahan dalam bentuk perundangan dadah yang ketat nampaknya berkesan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg