Singapura akan bekerjasama dengan empat negara Asia Tenggara dan Hong Kong untuk membentuk satu gabungan serantau badan bukan pemerintah (NGO) bagi memerangi pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
Gabungan itu, yang dinamakan Konfederasi Menentang Dadah Asia Pasifik (APCD), antara lain bertujuan mewujudkan masyarakat bebas dadah, termasuk melalui usaha lebih gigih dalam mengurangkan permintaan dadah.
Singapura akan diwakili oleh Persatuan Anti-Narkotik Singapura (Sana), di samping NGO lain seperti Pertubuhan Bulan Sabit Hijau Malaysia (Green Crescent) dari Malaysia, Gerakan Nasional Anti Narkoba (Granat) dan Yayasan Pendampingan dan Pemberdayaan Masyarakat Papua dan Papua Barat (YP2MP) dari Indonesia, Persatuan Gabungan Anti-Penyalahgunaan Dadah (AADAC) dari Filipina, dan Persatuan Bantuan dan Pemulihan Penagih Dadah (Sarda) dari Hong Kong.
Berucap di Forum Menentang Dadah Asia Pasifik (Apfad), yang diadakan di Hotel Furama RiverFront, pada 15 Mei, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, berkata pendekatan kerjasama rentas sempadan adalah penting untuk menangani cabaran berkaitan dadah, di tengah-tengah masalah dadah sejagat, yang semakin meruncing.
Forum tiga hari dari 15 hingga 17 Mei itu dihadiri sekitar 300 anggota gabungan, NGO, rakan kerjasama, pegawai pemerintah setempat serta pegawai pembetulan luar negara.
“Perdagangan dadah sejagat merupakan sebuah industri bernilai jutaan dolar dengan kepentingan terselindung yang sangat berkuasa.
“Ia mengeksploitasi golongan yang terdedah, merosakkan institusi negara, melemahkan keazaman pemerintah untuk menangani masalah ini, ia meruntuhkan asas masyarakat, semuanya demi mengaut keuntungan.
“Tiada negara yang mampu menangani masalah dadah sejagat secara bersendirian, kerana ia merupakan isu yang bersifat sejagat,” kata Encik Shanmugam, selaku tetamu terhormat di forum yang diadakan buat kali kelima itu.
Menyentuh tentang keadaan dadah sedunia, beliau berkata jumlah pengguna dadah di seluruh dunia meningkat kepada hampir 300 juta pada 2022 – naik 20 peratus berbanding sedekad lalu.
Malah di Singapura, Encik Shanmugam mengambil contoh operasi yang dilakukan Biro Narkotik Pusat (CNB) sekitar dua bulan lalu, yang menyaksikan mereka merampas coklat diselitkan ganja yang dibungkus dalam rekaan menarik dan dilapisi gambar kartun.
Berhubung pelancaran APCD, beliau menekankan bahawa kumpulan masyarakat sivil itu memainkan peranan penting dalam memerangi dadah.
“Saya telah menggesa pegawai saya supaya cuba menghimpunkan NGO dan pertubuhan masyarakat sivil yang terlibat dalam bidang ini, untuk berkongsi pandangan dan saling membantu antara satu sama lain,” kongsi beliau.
Dilantik sebagai pengerusi pertama APCD, Pengarah Eksekutif Sana, Encik Kok Weng Chew, menjelaskan platform seperti APCD penting untuk menyatukan suara dan usaha negara Asia dalam menangani isu dadah.
Menyentuh tentang pendekatan Asia yang konservatif, beliau berkata:
“Kita semua tahu bahaya dadah, tetapi apabila saya berbincang dengan pelbagai pihak, mereka berkongsi kebimbangan yang sama, namun tiada suara yang bersatu dan kuat untuk menangani isu ini.
“Namun, jika kita boleh bekerjasama dalam membentuk naratif bersama, dan menyuarakan mesej yang jelas… Kita mahu dunia tahu bahawa Asia hadir dengan suara yang kuat, mengatakan ‘tidak’ kepada dadah.”
Dalam pada itu, Encik Shanmugam menambah bahawa Singapura beriltizam untuk menyediakan sokongan yang diperlukan bagi menjayakan usaha ini, memandangkan tahap sokongan pemerintah berbeza-beza antara negara.
“Kita boleh berfikir dengan gagasan lebih besar – pertimbangkan bagaimana kita boleh bekerjasama, saling menyokong dan memperkukuh mesej kita di negara masing-masing.
“Singapura bersedia bekerjasama dengan setiap daripada anda, dan saya benar-benar serius mengenai perkara ini, dan kita boleh memikirkan penubuhan lebih besar dari masa ke masa yang akan melibatkan lebih ramai orang… bagi melihat bagaimana kita dapat memajukan lagi perjuangan ini,” ujar Encik Shanmugam.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg