Sejak keadaan jerebu kian memburuk, Encik Mohd Sahir Samsuri, 78 tahun, yang menghidapi masalah jantung tersumbat, adakalanya mengalami kesukaran bernafas.

Justeru, dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) yang sudah mencecah lebih 200, iaitu tahap ‘sangat tidak sihat’, pelitup N95 menjadi satu keperluan penting buat Encik Sahir.

Tatkala menyedari akan keperluan itu, beliau telah mengambil pelitup buat diri sendiri dan isterinya di Kelab Masyarakat Nee Soon East di Yishun pada 15 Oktober.

Menurut Encik Sahir, beliau telah digesa oleh anaknya untuk mengambil pelitup tersebut apabila pemerintah umumkan bermulanya pengagihan pelitup pada 14 Oktober.

“Sejak jerebu bermula, saya perasan kadangkala saya mengalami kesukaran bernafas kerana mutu udara yang kurang baik.

“Tambahan lagi, saya mengalami masalah jantung tersumbat dan pernah menghidapi sakit angin ahmar lebih 10 tahun dulu.

“Buat masa ini, saya elakkan keluar rumah tapi kalau saya perlu keluar, saya akan memakai pelitup untuk elak daripada menghirup udara berjerebu.

“Jadi, semalam malam (14 Oktober) apabila anak saya yang memberitahu bahawa saya boleh ambil pelitup dari kelab masyarakat berdekatan dengan rumah, saya pergi ambil pagi ini sebagai langkah penjagaan buat saya dan isteri,” kata beliau yang menetap di Yishun.

Berdasarkan tinjauan Berita Harian (BH) pada 15 Oktober, terdapat seramai lebih 80 rakyat yang beratur sewaktu sesi pengagihan pelitup N95 di beberapa CC termasuk Nee Soon Central serta Nee Soon East di Yishun dan Keat Hong di Choa Chu Kang seawal 10 pagi.

Ini susulan semua kelab masyarakat di seluruh Singapura dan mesin layan diri diaktifkan untuk mengagihkan pelitup tersebut pada 14 Oktober.

Sewaktu wartawan meninjau beberapa CC di Yishun, kelihatan Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Encik Jackson Lam, turut turun padang di Nee Soon East CC untuk membantu proses pengambilan pelitup bagi warga yang layak.

Seorang lagi warga emas, yang merupakan pemilik Kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) berwarna biru, Cik Sutedjowatie Soedarto, 66 tahun, juga telah mengambil sepaket pelitup N95 dari kelab masyarakat yang sama.

Meskipun tidak mengalami sebarang masalah kesihatan yang serius, Cik Sutedjowatie berkata pelitup itu berguna lebih-lebih lagi untuk menempuh hari-hari mendatang sekiranya asap jerebu di udara menjadi lebih tebal.

Beliau, yang tidak menjangkakan pelitup itu akan diagihkan dalam masa terdekat, berkata sejurus selepas pengumuman tentang pengagihan pelitup dikeluarkan, beliau telah dinasihatkan oleh anaknya agar mendapatkannya.

“Saya tahu pelitup akan diagihkan kepada rakyat Singapura jika keadaan jerebu menjadi semakin buruk. Namun, saya tidak sangka ia akan terus diagihkan secepat ini.

“Jadi, apabila anak saya memberitahu pelitup sudah tersedia di kelab masyarakat dan mesin layan diri, saya pun ambil keputusan untuk mengambilnya seawal mungkin,” kata suri rumah yang juga ibu tiga anak itu.

Sewaktu ditemui media di Yuhua CC pada 14 Oktober, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, menjelaskan pengagihan pelitup N95 telah dipercepat kerana bacaan PM2.5 telah melonjak dengan mendadak dan ramalan bahawa bacaan itu akan terus meningkat lebih tinggi.

Menurut beliau, bacaan PM2.5 – zarah mikro yang boleh terhidu masuk ke dalam paru-paru dan memasuki aliran darah – setiap jam telah meningkat dengan mendadak di bahagian barat Singapura, mencecah tahap ‘sangat tidak sihat’.

Malah, pada 4 petang 14 Oktober, bacaannya telah mencecah lebih 250 dan ramalan menunjukkan ia akan terus meningkat dengan bacaan PSI 24 jam juga akan turut melonjak sama.

Setakat 5 petang pada 15 Oktober, kawasan barat Singapura telah mencatat bacaan PSI setinggi 188 sementara di kawasan tengah ialah 186.

Pada 5 petang, bacaan PM2.5 dalam julat tinggi (151 hingga 250) di serata pulau: tengah (205), timur (161), barat (155), selatan (157) dan utara (102).

Memandangkan keadaan jerebu di kawasan barat merupakan yang paling buruk di Singapura, beberapa penduduk telah menyambut baik langkah pengagihan pelitup yang dipercepat itu.

Antaranya ialah Cik Rukiah Ahmat, 73 tahun, yang telah mengambil pelitup N95 dari Keat Hong CC.

Cik Rukiah, yang menghidapi penyakit semput dan mempunyai masalah pernafasan, berkata keadaannya semakin terjejas apabila jerebu bertambah buruk.

Beliau berkata beliau mendapatkan maklumat mengenai pengagihan pelitup itu melalui televisyen dan berita sebelum pergi sendiri untuk mengambilnya.

“Saya ada semput dan masalah kesukaran bernafas. Kalau batuk kadang sampai sukar bernafas.

“Jadi, apabila saya tahu tentang pengambilan pelitup N95 ini melalui televisyen, berita dan Facebook, saya pun ambil keputusan untuk mengambilnya,” kata beliau.

Pelitup N95 kini sudah mula diagihkan di setiap CC serata Singapura dan melalui mesin layan diri di 37 hab pengangkutan awam, termasuk pusat tukaran bas Clementi, Yishun dan Woodlands serta Pejabat Khidmat Sosial (SSO) terpilih.

Bagi penduduk yang ingin mendapatkan pelitup N95, mereka yang layak termasuklah warga Generasi Perintis dan Generasi Merdeka, pemegang kad Chas berwarna biru dan jingga, pemegang Kad Pengecualian Bayaran Perubatan serta penerima bantuan ComCare.

Wanita hamil, kanak-kanak berusia tujuh hingga 16 tahun dan individu yang mempunyai masalah kesihatan seperti semput juga layak untuk mengambil pelitup di CC Persatuan Rakyat (PA).

Penduduk yang layak perlu membawa kad pengenalan (NRIC) untuk mengambil pek yang mengandungi dua keping pelitup.

Mereka juga boleh meminta ahli keluarga atau rakan mengambilnya bagi pihak mereka dengan menggunakan kad pengenalan (NRIC) mereka.