Sudah menjadi lumrah bagi Cik Rosmayanti Yahya untuk menghantar dan mengambil ketiga-tiga cucunya ke sekolah tatkala mereka menuntut di sekolah rendah.
Namun itulah antara cabaran terbesar bagi warga senja berusia 66 tahun itu kerana beliau perlu membahagikan masa dengan baik agar dapat sampai tepat pada masanya.
Mentelah beliau tidak dapat berjalan dengan baik disebabkan sakit belakang kronik, yang memerlukannya untuk memakai tongkat ketika berjalan.
Ketika ditemui Berita Minggu (BM) dalam satu majlis anjuran Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) di Yayasan Mendaki pada 23 Disember, beliau berkata:
“Semasa mereka kecil (dan belajar di sekolah rendah), jam 7 pagi saya sudah hantar mereka dan akan ambil mereka semula pada 4 petang setiap hari.”
Demikian antara kisah yang dikongsi beliau dalam membesarkan tiga cucu – masing-masing berusia 14, 16 dan 20 tahun – bersama suami sebelum arwah meninggal dunia pada 2020.
Cucu-cucunya merupakan antara penerima sumbangan HGEF untuk lebih lima tahun.
Beliau hadir bersama dua cucunya dalam majlis tersebut sebagai menemani mereka yang menerima ganjaran berbentuk tunai, iaitu $200 seorang, kerana menamatkan tahun akademik.
Cik Rosmayanti menjelaskan beliau berkongsi ruang bersama ketiga-tiga cucunya di sebuah flat satu bilik di daerah Bukit Merah kepunyaan menantunya, yang kini dipenjara di sini dek kesalahan dadah.
Si ibu, seorang warga Indonesia, pula berada di negara itu atas kesalahan dadah di sana, jelas beliau.
Cucu keduanya, yang dikenali sebagai ‘Puteri’ (bukan nama sebenar), berkata sumbangan yang diterima saban tahun banyak membantu dalam membeli keperluan sekolah.
Lebih-lebih lagi bagi 2023 setelah dia menduduki peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘N’, katanya.
Kata ‘Puteri’:
“Ganjaran yang saya peroleh (sebelum ini) saya gunakan untuk beli buku sebagai persiapan untuk peperiksaan GCE ‘N’.”
Dengan keputusan GCE ‘N’ yang diumumkan baru-baru ini, ‘Puteri’ berpuas hati setelah layak ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE) untuk mengambil kursus Nitec Lanjutan Dalam Kejururawatan.
“Saya letakkan matlamat untuk ke politeknik bagi sambung diploma dan sumbang kembali kepada masyarakat,” jelasnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg