Punca jet pejuang F-16 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) terhempas di Pangkalan Udara Tengah pada 8 Mei telah ditentukan, dan jet F-16 yang lain akan dibenar terbang semula.
Dalam satu kenyataan pada 18 Mei, Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata perakam data penerbangan yang telah diambil daripada jet pejuang F-16 yang terhempas itu menunjukkan giroskop kadar putaran atau pitch rate gyroscope pesawat, memberikan maklumat yang salah kepada komputer kawalan penerbangan.
Siasatan terperinci oleh RSAF dan pengilang jet pejuang itu, Lockheed Martin, menunjukkan kesalahan itu menyebabkan juruterbang gagal mengawal pesawat itu semasa berlepas.
Giroskop kadar putaran adalah komponen dalam pesawat yang menyediakan salah satu isyarat yang diperlukan untuk menghantar data yang betul ke komputer kawalan penerbangan untuk mengawal pesawat, kata bekas juruterbang RSAF, Encik Ong Swee Chuan, kepada akhbar The Straits Times.
“Akibat giroskop memberi data salah kepada komputer kawalan penerbangan, pesawat menjadi amat sukar dikawal atau tidak dapat dikawal juruterbang, bergantung pada cara giroskop gagal,” kata Encik Ong.
Menurut Mindef, semua jet pejuang F-16 dipasang dengan empat giroskop dan lebih daripada satu giroskop telah gagal berfungsi dalam kejadian itu.
Mindef menambah bahawa kegagalan serentak giroskop itu adalah kejadian yang “sangat jarang berlaku”.
Ini adalah kerosakan serentak yang pertama bagi giroskop kadar putaran untuk keseluruhan jet pejuang F-16 RSAF yang telah beroperasi selama lebih 35 tahun, kata Mindef.
Mindef menambah bahawa Lockheed Martin tidak menetapkan sebarang penyenggaraan untuk giroskop kadar putaran dalam pesawat F-16.
RSAF dan Lockheed Martin akan menjalankan kajian lanjut untuk mengetahui sebab kerosakan giroskop yang telah mengakibatkan kejadian itu.
Semua jet pejuang F-16 RSAF lain akan kembali terbang tetapi, sebagai langkah pencegahan tambahan, setiap giroskop kadar putaran F-16 akan diperiksa dan ditentukan berfungsi sebelum penerbangan dimulakan semula, kata Mindef.
Kejadian jet F-16 RSAF terhempas pada 8 Mei itu adalah yang keempat melibatkan jet pejuang F-16 RSAF sejak pesawat itu beroperasi lewat 1980-an.
Jet pejuang F-16 merupakan antara jet pejuang moden yang paling banyak digunakan di dunia dengan 25 tentera udara menggunakannya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg