Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jet F-16 RSAF terhempas di Pangkalan Udara Tengah, juruterbang selamat

May 8, 2024 | 2:58 PM
Mindef menyatakan juruterbang jet itu bertindak mengikut prosedur kecemasan dan berjaya melecitkan dirinya dari jet itu sebelum ia terhempas pada  12.35 tengah hari 8 Mei, selepas  mengalami isu semasa berlepas.
Mindef menyatakan juruterbang jet itu bertindak mengikut prosedur kecemasan dan berjaya melecitkan dirinya dari jet itu sebelum ia terhempas pada 12.35 tengah hari 8 Mei, selepas mengalami isu semasa berlepas. - Foto ST

Sebuah jet pejuang F-16 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) terhempas di Pangkalan Udara Tengah pada 12.35 tengah hari 8 Mei selepas ia mengalami isu semasa berlepas.

Kementerian Pertahanan (Mindef) menyatakan juruterbang jet itu bertindak mengikut prosedur kecemasan dan beliau berjaya melecitkan dirinya dari jet itu.

Mindef menambah bahawa juruterbang berkenaan dalam keadaan sedar dan boleh berjalan serta sedang menerima rawatan perubatan. Tiada kakitangan lain cedera.

Kementerian itu menyatakan siasatan sedang dijalankan dan ia akan memberi maklumat terkini mengenai kejadian tersebut apabila ia sudah tersedia.

Kumpulan jet F-16 RSAF dinaik taraf baru-baru ini untuk mempertingkatkan keupayaannya dan melanjutkan tempoh siap siaga operasinya hingga pertengahan 2030.

Peningkatan itu termasuk Radar Active Electronically Scanned Array (AESA), yang membolehkan F-16 menjejak dan menyerang berbilang sasaran dari jarak lebih jauh, serta keupayaan serangan darat tanpa mengira cuaca.

Keupayaan ini membolehkan jet pejuang sedemikian menyerang sasaran menggunakan senjata dengan ketepatan lebih jitu.

Dalam satu hantaran susulan di Facebook, Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, berkata juruterbang terbabit telah menjalani pemeriksaan perubatan penuh di hospital, termasuk imbasan CT.

Beliau menambah bahawa daripada imbasan tersebut, juruterbang itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius tetapi akan diletak di bawah pengawasan di hospital sebagai langkah pengawasan.

“Kewaspadaan dan pematuhannya pada prosedur keselamatan untuk lecit dari pesawat itu telah menyelamatkan nyawanya.

“Kali terakhir kita mengalami kejadian jet pejuang terhempas ialah 20 tahun lalu. Ia rekod baik tetapi jelas kecewa atas kejadian ini. Matlamat RSAF mesti tetap kekalkan rekod tiada pesawat terhempas,” ujarnya.

Ini adalah jet F-16 keempat RSAF yang terhempas sejak ia beroperasi dalam RSAF pada lewat 1980-an.

Kali terakhir jet pejuang RSAF terhempas adalah pesawat F-16C pada 19 Mei 2004 di Arizona, Amerika Syarikat.

Kemalangan itu mengorbankan nyawa juruterbang Leftenan Loo Kwang Han, 25 tahun.

Singapura telah mengendalikan jet F-16 lebih 30 tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg