TTFS sokong 10,000 pelajar Melayu setiap tahun sepanjang 5 tahun lalu

Skim Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) menyokong sekitar 10,000 pelajar Melayu setiap tahun sepanjang tempoh lima tahun yang lalu, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, pada 4 Ogos.

Dalam satu jawapan bertulis kepada soalan Parlimen oleh Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik (GRC Sengkang) berhubung data mengenai graduan Melayu generasi pertama dan penerima TTFS, Encik Zaqy menambah bahawa kriteria kelayakan pendapatan untuk skim itu juga telah disemak baru-baru ini.

Pada April, ia telah diumumkan bahawa kriteria kelayakan skim itu akan dinaikkan dan tahap subsidi baru akan diperkenalkan bagi menyokong lebih ramai pelajar Melayu daripada isi rumah berpendapatan rendah hingga pertengahan melanjutkan pengajian di politeknik dan universiti tempatan.

Encik Zaqy bagaimanapun berkata Yayasan Mendaki tidak menjejaki bilangan lulusan Melayu generasi pertama.

Lebih 90% lulusan universiti Melayu merupakan PMET

Lebih sembilan daripada 10 orang Melayu yang berkelayakan universiti dan bekerja merupakan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET).

Ini menurut data Tinjauan Isi Rumah Umum 2025, yang dikongsi Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Parlimen oleh Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik (GRC Sengkang) pada 4 Ogos, yang bertanyakan tentang profil pekerjaan lulusan Melayu generasi pertama.

Sekitar sembilan daripada 10 lulusan Melayu yang bekerja adalah pekerja, manakala selebihnya sama ada majikan atau individu yang mengendalikan perniagaan atau perdagangan mereka sendiri tanpa menggajikan pekerja berbayar.

Lima industri teratas di mana lulusan Melayu bekerja adalah pentadbiran awam dan pendidikan, khidmat kesihatan dan sosial, khidmat profesional, khidmat kewangan dan insurans, serta perdagangan borong dan runcit.

Pemerintah bagaimanapun tidak menjejaki hasil pekerjaan lulusan mengikut generasi keluarga mereka, kata Encik Zaqy.

Gagal undian tiket NDP: Sistem tingkatkan peluang diperkenal sejak 2025

Satu sistem untuk meningkatkan peluang rakyat Singapura yang pernah gagal dalam undian tiket Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) telah dilaksanakan sejak jawatankuasa eksekutif memperkenalkannya pada 2025, kata Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, pada 4 Ogos.

Bagi mengurangkan masa pengambilan tiket NDP, pilihan pengagihan alternatif seperti e-tiket juga sedang diterokai, di samping mengimbangi aksesibiliti bagi mereka yang lebih suka mendapatkan tiket fizikal, kata beliau.

Encik Chan berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Parlimen oleh Cik Valerie Lee (GRC Pasir Ris-Changi) selepas beliau bertanya sama ada kementerian itu akan menyemak sistem undian NDP untuk meningkatkan aksesibiliti awam dan mengurangkan masa pengambilan tiket.