Persembahan tarian tradisional Melayu biasanya riuh.
Namun sesi tarian Joget Senyap atau ‘Silent Joget’, akan dipersembahkan oleh syarikat kumpulan seni Sri Warisan dalam keadaan senyap nanti.
Persembahan tarian di Stamford Arts Centre pada 26 Ogos nanti, akan menjadi sebahagian daripada acara ‘A Date with Tradition’ anjuran Arts House Limited.
Pengarah Kreatif Sri Warisan, Cik Marina Yusoff, berkata konsep tarian senyap itu menggabungkan unsur disko senyap atau ‘silent disco’ dan diperkenalkan buat kali pertama di Singapura.
Muzik tidak akan dimainkan secara kuat, sebaliknya peserta akan memakai fon kepala untuk menghayati irama muzik tradisional Melayu sambil mengerakkan tubuh mereka.
Syarikat yang berkecimpung dalam seni tarian itu akan mengadakan sesi interaktif Joget Senyap, yang terbuka kepada orang awam.
Peserta akan diajar tarian tradisional termasuk asli, inang, masri, zapin dan joget oleh seorang jurulatih melalui fon kepala.
Dalam satu temu bual, Cik Marina, 47 tahun, menerangkan secara terperinci konsep Joget Senyap dan harapannya terhadap kesannya ke atas masyarakat tarian serta masyarakat lebih luas.
“Elemen yang membuatnya menarik ialah penggunaan elemen senyap. Saya yakin orang yang melihat dari luar akan terhibur kerana peserta-peserta sesi joget ini bergerak tanpa muzik nyaring.
“Pendekatan yang jarang diambil ini mungkin menyebabkan rasa ingin tahu pada orang yang belum pernah mengalami sesuatu seperti ini sebelumnya” ujar beliau.
Cik Marina menerangkan bahawa Sri Warisan telah aktif dalam daya usaha mereka untuk memperkenalkan seni tarian Melayu kepada orang ramai.
Sri Warisan telah mengadakan bengkel pendidikan tarian kepada pelajar di lebih 350 sekolah melalui Program Pendidikan Seni Majlis Seni Kebangsaan (NAC).
Namun, Joget Senyap diharapkan membawa pendekatan berbeza dan dapat mengundang minat yang lebih besar.
Cik Marina juga menjelaskan bagaimana beliau memastikan keaslian dan kepentingan budaya tarian Melayu tradisional terpelihara ketika menggabungkan aspek kontemporari.
“Selagi asas lima tarian Melayu tradisional terpelihara, kami dapat menjalankan penggabungan dengan elemen-elemen moden” kata Cik Marina.
Beliau menegaskan kepentingan memastikan asas tarian Melayu yang kukuh, kerana ini membolehkan penari memahami akar budaya mereka dan memudahkan perpaduan unsur moden dengan hormat.
Cik Marina berharap bahawa Joget Senyap akan menyampaikan mesej kepada generasi muda tentang pentingnya untuk memelihara dan menghargai warisan budaya serta menyatukan nilai-nilai tradisional dengan inovasi moden.
Sesi joget itu akan diadakan dari 7.30 malam hingga 10.30 malam.
Mereka yang berminat boleh mendaftar secara percuma di laman Arts House.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg