KUALA LUMPUR: Dengan Singapura kian mengurangkan bilangan padang golf, dan beberapa padang golf di Malaysia hanya terletak dalam jarak pemanduan sekitar 10 hingga 40 minit dari pusat pemeriksaan imigresen, pengendali padang golf di Johor kini bersiap sedia menerima lebih ramai pemain golf dari Singapura.
Di negeri Johor yang mempunyai 28 padang golf, pelbagai kelab golf kini bersaing untuk meningkatkan daya tarikan masing-masing.
Ia juga berharap bilangan padang golf yang semakin berkurangan di Singapura akan mendorong pemain golf berkunjung ke Johor untuk bermain di padang golf yang lebih luas dengan harga berpatutan.
Sambil merujuk kepada pengumuman Singapura baru-baru ini bahawa empat padang golf di negara ini akan ditutup menjelang 2035 bagi memberi laluan kepada projek perumahan, Presiden Persatuan Pelancongan Golf Johor (JGTA), Encik Mohd Jamal Salleh, berkata:
“Penutupan ini pasti membantu landskap golf di Johor.”
Kemungkinan besar, pegawai berpangkat kolonel yang sudah bersara itu tidak sekadar berangan-angan: padang golf di Johor menerima hampir 20 peratus lebih pemain – daripada 520,051 pemain pada 2022 kepada 621,261 pada 2024, menurut JGTA.
Menurut pemerhati industri, peningkatan tersebut dirangsang oleh pemulihan sektor pelancongan pasca pandemik di Singapura, minat yang kian meningkat daripada pemain antarabangsa, terutamanya warga Singapura, Korea dan China, serta beberapa padang golf yang bakal ditutup di Singapura.
Rakyat Singapura membentuk 60 peratus daripada pemain golf hujung minggu di Johor, dengan faktor kos dan jarak yang dekat menjadi tarikan utama bagi mereka, kata Encik Mohd Jamal.
Seorang pesara yang bermain golf setiap bulan di Johor, Encik Nishit Majmudar, membelanjakan sekitar $110 bagi setiap sesi permainan.
“Perjalanannya hanya mengambil masa sejam dengan kenderaan, tidak perlu visa, dan suasananya jauh lebih santai.
“Padangnya tidak sesak, dan harganya juga jauh lebih murah daripada bermain golf di Singapura,” katanya.
Seorang pegawai perkhidmatan awam yang sudah bermain golf sejak 1990-an, Encik Gregory Lim, kini hanya bermain golf di Johor.
“Saya berhenti menjadi ahli kelab saya di Singapura sebab sukar untuk mendapatkan tempahan (padang golf).
“Sekarang, saya hanya membayar $50 hingga $70 bagi satu sesi permainan di Johor,” ujar beliau.
Pemain golf akur bahawa mutu padang golf di Johor agak tidak konsisten.
Bagaimanapun, terdapat padang golf baru yang lebih gah dan indah di negeri tersebut, lapor The Business Times (BT).
Antaranya ialah padang golf di Forest City yang direka oleh bekas pemain golf profesional, Jack Nicklaus.
Padang golf tersebut terletak dalam jarak pemanduan sekitar 15 hingga 20 minit dari Tuas.
Satu lagi padang golf, The Els Club Desaru Coast, menawarkan pemandangan tepi laut, di samping pakej penginapan dan permainan golf yang mewah.
Padang golf sedemikian dijangka mendorong pengendali padang golf lain untuk menambah baik mutu kemudahan dan perkhidmatan masing-masing.
Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, Forest City Golf Resort di Gelang Patah, yang menarik lebih 80 peratus pemain golf antarabangsa, merancang membina padang golf ketiga.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg