Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

4 padang golf akan ditutup jelang 2035, hanya 12 tinggal di S’pura

Jul 7, 2025 | 6:09 PM
Padang golf 18 lubang Warren Golf & Country Club akan ditutup pada 2030.
Padang golf 18 lubang Warren Golf & Country Club akan ditutup pada 2030. - Foto ST

Empat padang golf akan ditutup secara kekal menjelang 2035, meninggalkan Singapura dengan hanya 12 padang dalam beberapa tahun akan datang.

Kementerian Undang-Undang (MinLaw) pada 7 Julai mengumumkan bahawa pajakan bagi Padang Golf Eksekutif Mandai (MEGC), Warren Golf & Country Club, Orchid Country Club (OCC) dan padang Garden di Tanah Merah Country Club (TMCC) tidak akan diperbaharui kerana tanah tersebut diperlukan untuk rancangan masa depan. 

Ini sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengambil semula tanah padang golf bagi kegunaan lain, seperti Marina Bay Golf Course yang ditutup pada Jun 2024 dan akan digantikan sebahagiannya oleh Bay East Garden, lapor The Straits Times (ST).

Pajakan dua lagi padang, padang Bukit 18 lubang milik Singapore Island Country Club (SICC) dan padang Sime 18 lubang milik Keppel Club,  juga akan tamat pada 31 Disember 2030.

Selepas itu, tanah dua padang itu akan dibahagikan antara pengendali padang golf awam 18 lubang dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), yang kini menguruskan OCC melalui Kelab NTUC, menurut MinLaw.

Cara tanah itu akan dibahagikan dan diperuntukkan sedang dikaji, tambah kementerian tersebut. Ia tidak menyatakan tempoh pajakan untuk padang-padang tersebut selepas itu.

Padang pertama yang akan ditutup ialah MEGC yang merupakan padang golf 9 lubang. Ia berada di bawah penyewaan sehingga 31 Disember 2026.

Tanah itu akan digunakan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) untuk membangunkan sebuah Pusat Pembelajaran Pengembaraan Luar.

MOE sebelum ini menyatakan bahawa kem itu akan menjadi salah satu daripada tiga kem baru yang akan dibina menjelang 2032.

Dua lagi padang golf akan ditutup pada 2030 dan tapaknya telah dizonkan untuk kegunaan perumahan menurut Draf Rancangan Induk 2025 oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).

Padang tersebut ialah Warren Golf & Country Club di Choa Chu Kang, pajakannya tamat 31 Oktober 2030, dan Orchid Country Club di Yishun, tamat 31 Disember 2030.

Akhir sekali, padang Garden milik TMCC akan ditutup selepas pajakannya tamat pada 31 Disember 2035.

“Memandangkan lokasinya berhampiran Lapangan Terbang Changi, tanah itu sedang dikaji untuk kegunaan yang menyokong pertumbuhan ekonomi,” kata MinLaw, sambil menambah maklumat lanjut akan diumumkan menjelang 2035.

Selepas penutupan ini, Singapura dijangka mempunyai 12 padang golf yang masih beroperasi selepas 2035, termasuk padang Bukit dan Sime yang sedia ada.

Daripada jumlah itu, dua padang yang pajakannya tamat pada 2030, iaitu National Service Resort & Country Club (NSRCC) di Kranji dan Serapong (Sentosa), akan diperbaharui hingga 31 Disember 2040.

Tujuh lagi padang berada di bawah pajakan yang tamat pada Disember 2040.

Ia termasuk:

• Padang Island 18 lubang dan padang New 27 lubang milik SICC

• Padang 9 lubang Changi Golf Club

• Dua padang 18 lubang milik Laguna National Golf Resort Club

• Padang 18 lubang milik Seletar Country Club

• Padang 18 lubang di NSRCC (Changi)

• Padang Tanjong 18 lubang milik Sentosa Golf Club

• Padang Tampines 18 lubang milik TMCC

Pemerintah akan mengkaji semula sama ada akan memperbaharui pajakan padang-padang ini selepas 2040.

Satu lagi padang 18 lubang di Sembawang Country Club dikendalikan oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) di atas tanah pemerintah berada di bawah perjanjian lesen.

MinLaw berkata keputusan pembaharuan pajakan padang golf bergantung pada keperluan tanah lain seperti perumahan, ekonomi, pengangkutan dan perkhidmatan penting.

“Permintaan tanah untuk kegunaan negara dijangka semakin mendesak dan ini akan menjejaskan ketersediaan tanah bagi aktiviti golf,” kata kementerian itu.

“Pemerintah akan mengimbangi akses kemudahan golf antara ahli kelab privet dan orang awam bagi memenuhi keperluan yang meningkat,” tambah kementerian itu.

Kementerian itu menjelaskan bahawa pajakan padang golf adalah untuk tempoh tetap dengan tarikh tamat yang diketahui, bagi membolehkan pengendali dan ahli kelab membuat keputusan yang bijak.

“Ini memastikan tanah padang golf boleh dikembalikan kepada negara dan dibangunkan semula untuk keperluan yang lebih mendesak tepat pada masanya,” kata MinLaw.

Kementerian berkata Persatuan Golf Singapura (SGA) dan NSRCC akan menubuhkan sebuah lagi Pusat Kecemerlangan untuk menyediakan lebih banyak peluang latihan kepada pasukan kebangsaan Singapura dan mempromosikan sukan golf dalam kalangan belia.

Ia menambah bahawa pusat itu akan menyediakan slot mingguan khas untuk latihan pasukan kebangsaan dan belia, serta memberi pendedahan kepada pelbagai jenis padang golf.

Ini melengkapi latihan mingguan sedia ada di kelab lain dan menambah kepada Pusat Kecemerlangan di padang Sime, Keppel Club, yang fokus pada pembangunan pemain muda, menurut MinLaw.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg