Nombor kad pengenalan, atau NRIC, kekal sebagai data peribadi dan hanya boleh dikumpul dan digunakan apabila terdapat keperluan melakukan demikian, kata Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan, Cik Josephine Teo, dalam kenyataan menteri di Parlimen pada 8 Januari.
Ini bermakna pertubuhan yang mengumpulkan dan menggunakan nombor NRIC mesti terus menjalankan tanggungjawab berhati-hati.
Mereka juga perlu memaklumkan dan mendapatkan persetujuan untuk penggunaan data, serta memastikan data dilindungi dengan secukupnya, tambah Cik Teo.
“Ini adalah garis panduan sedia ada yang tidak akan berubah,” kata beliau.
Cik Teo berkata demikian dalam menjawab 51 soalan Parlimen yang telah difailkan Anggota Parlimen (AP) berhubung dasar NRIC dan kejadian pendedahan nombor NRIC di laman Bizfile Penguasa Pengawalan Korporat dan Perakaunan (Acra).
Turut memberi kenyataan menteri di Parlimen ialah Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah, yang memberi butiran lanjut tentang urutan peristiwa berhubung pendedahan nombor NRIC di laman Bizfile itu dan mandat Acra dalam memberi akses awam kepada maklumat asas perniagaan dan individu berkaitan.
Acra mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang awam selepas melancarkan laman Bizfile barunya pada 9 Disember 2024, yang membenarkan nombor NRIC penuh individu berdaftar dalam pangkalan datanya boleh diperolehi secara percuma melalui fungsi pencariannya secara tidak sengaja.
Ciri itu ditarik balik pada 13 Disember berikutan maklum balas awam.
Cik Teo berkata beliau mengakui keprihatinan yang diutarakan orang awam itu, sambil berkata insiden Bizfile tersebut adalah malang.
“Tanpa niat, ia menyebabkan orang ramai percaya bahawa pemerintah sedang mengubah dasarnya untuk membenarkan nombor NRIC penuh didedahkan secara meluas. Ini bukan halnya.
“Kami mengambil serius keprihatinan orang ramai dan memohon maaf atas kesilapan yang menyebabkan mereka sangat cemas,” kata beliau.
Cik Teo menambah, pemerintah telah mula mengambil langkah-langkah untuk menghentikan penggunaan salah nombor NRIC.
Ini termasuk tidak menggunakan nombor NRIC sebagai pengesah dan beralih daripada menggunakan nombor NRIC yang disembunyikan (masked) kerana ia mewujudkan rasa keselamatan yang palsu.
Cik Teo menjelaskan bahawa nombor NRIC merupakan cara bagi mengenal pasti individu, tetapi beberapa pertubuhan salah menggunakan nombor itu sebagai cara membuat pengesahan – yang menganggap seseorang itu adalah orang yang didakwanya semata-mata kerana dia boleh menyatakan nombor kad pengenalan.
Sesetengah pertubuhan mungkin mengambil langkah lanjut dengan memberikan individu akses kepada maklumat atau perkhidmatan istimewa.
“Apabila digunakan dengan cara ini, nombor NRIC saya bukan lagi sekadar ID, atau pengenal pasti, tetapi kunci kepada lebih banyak maklumat atau perkhidmatan.
“Dalam situasi sedemikian, nombor NRIC diterima sebagai pengesah, atau bukti orang itu adalah individu yang didakwanya. Ini jelas tidak sesuai,” kata Cik Teo.
Beliau memberi satu lagi contoh di mana pertubuhan mengumpulkan dan menggunakan nombor NRIC disembunyikan, biasanya empat angka terakhir nombor NRIC.
“Mereka fikir ia selamat, dan mendedahkan hanya empat angka terakhir akan tetap merahsiakan nombor NRIC penuh,” kata Cik Teo, sambil menambah bahawa penggunaan nombor NRIC disembunyikan itu juga telah menjadi perkara lazim dalam kalangan agensi khidmat awam.
Terdapat juga individu yang menggunakan nombor NRIC sebagai kata laluan, dengan tanggapan bahawa nombor NRIC penuh adalah rahsia.
Cik Teo berkata pemerintah telah meminta agensi supaya menghentikan penggunaan nombor NRIC sebagai pengesah atau kata laluan, dan untuk tidak merancang penggunaan baru, dengan tujuan menghentikan penggunaan sedia ada nombor NRIC disembunyikan pada akhirnya.
Bagi pertubuhan sektor swasta, pemerintah menasihatkan mereka agar menghentikan amalan menggunakan nombor NRIC sebagai pengesah atau kata laluan secepat mungkin.
Pertubuhan sektor swasta yang pada masa ini mengumpulkan nombor NRIC disembunyikan untuk mengenal pasti orang boleh terus melakukan demikian, tambah Cik Teo.
“Garis panduan bagi sektor swasta belum lagi berubah dan kami hanya akan mempertimbangkan bagaimana ia perlu dikemas kini selepas berunding dengan orang ramai,” kata beliau.
Sementara itu, Cik Indranee berkata satu panel, yang diketuai Ketua Perkhidmatan Awam, Encik Leo Yip, sedang menjalankan semakan berhubung kejadian pendedahan nombor NRIC di laman Bizfile itu dan dasar NRIC.
Tugas mereka dijangka selesai pada Februari dan dapatannya akan dikongsi kepada umum.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg