Kelemahan dalam penyelarasan antara Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dan Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra), serta salah faham Acra akan arahan kementerian agar menghentikan penggunaan nombor kad pengenalan (NRIC) tersembunyi dalam perkhidmatan digital barunya menyebabkan Acra mendedahkan nombor NRIC penuh.
Acra mendedahkan nombor NRIC penuh dalam fungsi carian ‘People Search’ apabila portal Bizfile barunya dilancarkan pada 9 Disember 2024.
Ia berlaku kerana Acra menyangka MDDI menginginkannya berbuat demikian, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO), yang juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah, dalam satu kenyataan menteri beliau di Parlimen pada 8 Januari.
Pada Julai 2024, MDDI mengeluarkan surat pekeliling mengarahkan semua agensi pemerintah berhenti menggunakan nombor NRIC sebagai pengesahan atau kata laluan, dan menghentikan rancangan penggunaan nombor NRIC tersembunyi bagi proses perniagaan baru dan perkhidmatan digital, sebagai contoh.
Ini menyebabkan salah faham dalam pendedahan nombor NRIC, namun Cik Indranee menekankan “bukan niat pemerintah agar agensi pemerintah menjadikan set data nombor NRIC yang mereka ada mudah diakses orang ramai”.
Kebimbangan awam mula tercetus pada 12 Disember 2024, kata Cik Indranee, yang kemudian menjelaskan MDDI dan Acra memerlukan masa untuk menilai apakah pendedahan nombor NRIC penuh dalam fungsi carian ‘People Search’ selaras dengan niat dasar MDDI, serta kesesuaian dan masa yang diperlukan untuk melaksanakan alternatif.
Fungsi carian itu ditarik balik pada malam 13 Disember 2024.
Lebih 500,000 pertanyaan dibuat melalui ‘People Search’ sepanjang lima hari dari 9 hingga 13 Disember 2024, dengan sebahagian besar pertanyaan dibuat pada 13 Disember 2024, sehari selepas laporan mengenai nombor NRIC di portal Bizfile tersebar.
Dalam satu sidang media pada 19 Disember 2024, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, menjelaskan tiga niat dasar MDDI.
Pertama, agensi pemerintah tidak menggunakan nombor NRIC langsung kecuali jika perlu; dan kedua, agensi pemerintah menggunakan pengenal lain sebagai ganti nombor NRIC, jika itu mencukupi.
Terakhir, dalam kes tertentu, seperti di persekitaran perubatan apabila penggunaan nombor NRIC diwajibkan oleh undang-undang atau diperlukan bagi pengenalan tepat, nombor NRIC penuh digunakan.
“Memandangkan tujuan nombor NRIC adalah untuk sebagai pengecam unik, ia tidak boleh menjadi rahsia, sama seperti nama kami bukan rahsia.
“Namun, saya harus menekankan bahawa walaupun nombor NRIC anda bukan rahsia, ia tidak dimaksudkan untuk didedahkan secara meluas.
“Kami hanya akan mendedahkan nombor NRIC kami dalam keadaan tertentu, contohnya, apabila dikehendaki oleh undang-undang - termasuk mendedahkan nombor NRIC kami kepada majikan kami, di klinik, atau apabila kami melanggan talian telefon mudah alih,” ujar Cik Teo.
“MDDI telah mengakui mereka sepatutnya menjelaskan perkara ini dengan lebih terperinci.
“Menyusuli kebimbangan awam mengenai pendedahan tersebut, Acra menggantung perkhidmatan itu, dan sejak perkhidmatan disambung pada 28 Disember 2024, hasil carian di bawah fungsi ‘People Search’ yang diubah tidak lagi memaparkan sebarang nombor NRIC, baik tersembunyi mahupun tidak,” tambah Cik Indranee.
Menurutnya lagi, untuk mengekalkan ketelusan korporat, memudahkan transaksi perniagaan, dan mengawal kegiatan haram, Acra dibenarkan oleh undang-undang memberikan akses awam kepada maklumat tersebut, termasuk nombor NRIC.
Cik Tin Pei Ling (Macpherson) menyoal mengapa pemerintah tidak mengejar pertubuhan yang mengamalkan penggunaan nombor NRIC sebagai pengesahan, jika ia tidak dimaksudkan untuk tujuan tersebut.
Beliau juga menggesa pemerintah berlaku adil kepada penjawat awam terlibat dalam semakannya.
Menjawab, Cik Indranee berkata perlindungan terbaik ialah pertubuhan dan individu berhenti menggunakan nombor NRIC sebagai pengesahan atau kata laluan.
Beliau akur ia akan mengambil masa, dan menambah bahawa latihan serta sesi jangkauan mungkin perlu dijalankan untuk membantu orang ramai memahami risiko berbuat demikian.
Cik Indranee juga berkata sumber bagi membantu orang ramai tersedia dan pemerintah akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC), Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Agensi Keselamatan Siber (CSA).
“Jika panel itu mendedahkan fakta yang membayangkan salah laku yang boleh dikenakan tindakan atau kesalahan serius, ia akan merujuk perkara tersebut kepada badan atau pihak berkuasa relevan yang menyediakan tindakan itu.
“Panel itu akan bersikap objektif, adil, tetapi teliti dan rapi,” ujar Cik Indranee mengenai panel yang akan menyemak punca pendedahan nombor NRIC penuh dalam insiden portal perniagaan Bizfile itu.
Beliau turut menjawab soalan Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh (GRC Aljunied) mengenai kemas kini oleh Acra dalam perundingan awamnya, dan berkata ringkasan perundingan awam dikeluarkan pada April 2024.
“Tindakan kami ialah memperkenalkan alamat hubungan sebagai alamat asal individu yang akan ditunjukkan kepada orang ramai berdasarkan kebimbangan mengenai pendedahan nombor NRIC dinyatakan baru-baru ini.
“Kami akan menyemak dengan lebih lanjut dan memberikan kemas kini dalam masa terdekat,” kata Cik Indranee.
“
“Namun, saya harus menekankan bahawa walaupun nombor NRIC anda bukan rahsia, ia tidak dimaksudkan untuk didedahkan secara meluas. Kita hanya akan mendedahkan nombor NRIC kita dalam keadaan tertentu, contohnya, apabila dikehendaki oleh undang-undang – termasuk mendedahkan nombor NRIC kita kepada majikan kita, di klinik, atau apabila kita melanggan talian telefon mudah alih.”“
“Menyusuli kebimbangan awam mengenai pendedahan tersebut (insiden pendedahan nombor NRIC penuh di portal Bizfile), Acra menggantung perkhidmatan itu, dan sejak perkhidmatan itu disambung pada 28 Disember 2024, hasil carian di bawah fungsi ‘People Search’ yang diubah tidak lagi memaparkan sebarang nombor NRIC, baik tersembunyi mahupun tidak.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg